Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
PIYA antara nama yang disebut-sebut sebagai pilihan Kim Swee mengetuai
skuad Harimau Malaya.
TEKA-TEKI berhubung siapa kapten baharu skuad Harimau Malaya bakal terjawab
dalam masa terdekat.
Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau
enggan terburu-buru mengenal pasti pemain yang bakal memikul tanggungjawab
sebagai kapten skuad kebangsaan.
"Ada dua tiga pemain dalam radar saya buat masa ini, tetapi saya belum
membuat keputusan muktamad.
"Buat masa ini, saya masih meneliti perkara itu bergantung sekiranya
pemain berkenaan tercedera dan sebagainya sebelum dipanggil menjalani latihan
pusat selepas ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar
Kepimpinan Sukan di Insitut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur
semalam.
Buat masa ini, kapten Kelantan, Badhri Radzi yang mesra dengan panggilan
Piya disebut-sebut akan memiliki lilitan kapten itu menjelang pertemuan
berdepan Yemen dalam aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015
di Dubai pada 5 Mac depan.
Tanggungjawab selaku kapten skuad kebangsaan sebelum ini disandang oleh
perancang Johor Darul Takzim, Safiq Rahim.
Bagaimanapun jelas Kim Swee, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi
semasa Safiq bersama skuad Harimau Selatan itu.
"Saya lihat, Safiq beraksi dengan baik serta kerap diturunkan musim
ini," katanya.
Kim Swee juga menafikan telah membuat keputusan muktamad berhubung senarai
akhir 25 pelatih skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan berdepan Filipina
pada 1 Mac depan seperti mana yang digembar-gemburkan di laman sosial ketika
ini.
"Ia hanya satu khabar angin, senarai pelatih hanya akan dikeluarkan
Khamis ini (esok).
"Saya memahami ada pihak-pihak tertentu mahu pemain-pemain berkenaan
beraksi bersama skuad kebangsaan.
"Namun, saya tidak dipengaruhi dengan desakan mana-mana pihak...
sebaliknya saya akan nilai dengan mata saya sendiri sambil mendengar pandangan
pembantu-pembantu jurulatih sebelum membuat keputusan," katanya.
Beliau turut menolak kemungkinan bakal merombak skuad Harimau Malaya secara
besar-besaran ekoran majoriti pemain utama sekadar memanaskan bangku simpanan
bersama pasukan masing-masing musim ini.
"Faktor pengalaman juga diambil kira walaupun secara dasarnya pemain
yang tidak beraksi dalam kesebelasan utamanya sudah tentu terkeluar daripada
senarai pelatih.
"Namun bergantung kepada posisi tertentu, jadi saya perlu menilai
setiap posisi dan masih ada beberapa kekosongan.. tidak mustahil ada beberapa
pemain baharu yang akan dipanggil kali ini," katanya.
KOSMO ONLINE 12.2.14
No comments:
Post a Comment