WALAUPUN masuk sebagai pemain gantian, pemain tengah Pahang, R. Surendran
(gambar) tampil dalam kelas tersendiri ketika membantu Pahang menewaskan Johor
Darul Takzim 3-2 pada kempen Liga Super di Stadium Darul makmur, Kuantan malam
kelmarin.
Surendran yang masuk menggantikan Azamuddin Mohd. Akil yang mengalami
kecederaan pada minitke-22 jelas tidak menghampakan penyokong mereka apbila
bertindak cemerlang menjana jentera tengah skuad yang mendapat jolokan Tok
Gajah itu.
Kehebatan yang dipamerkannya sepanjang perlawanan tersebut memberi kepuasan
kepada jurulatih mereka, Ronald Smith yang menganggap Surendran sebagai pemian
terbaik pada perlawanan tersebut.
Surendran tidak beraksi dalam tiga perlawanan sebelum ini akibat kecederaan
yang dilaminya ketika membantu Pahang muncul juara Piala Sumbangsih pada 17
Januari lalu selepas menewaskan Lions XII 1-0.
Sumbangan yang diberikan Surendran pada perlawanan tersebut menyaksikan
mereka mendominasi perlawanan tersebut sekali gus memaksa pasukan lawan berada
dalam tekanan.
"Saya puji persembahan Surendarn dan dia adalah pemain terbaik dalam
perlawanan ini," kata Smith.
Menurutnya, pemain kelahiran Bera itu telah membentuk gandingan baik dengan
Azidan Sarudin sekali gus menguasai bahagian tengah skuad Pahang.
"Kemasukan Suren (Surendran) membawa nafas baharu di bahagian tengah dan
mereka banyak melancarkan serangan serta mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
"Kami merasai kehilangannya dalam empat perlawanan sebelum ini
(termausk kempen Piala FA) dan kami bersyukur dia dapat segera sembuh dan
kembali beraksi menyesuaikan diri dengan permainan.
"Jika orang bertanya kepada saya siapa pemain terbaik, saya pilih
Suren," katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur itu, Tok Gajah
berjaya membenamkan keangkuhan pasukan Johor DT hasil jaringan Matias Conti,
Mohd. Fauzi Roslan dan Mohd. Hafiz Kamal manakala gol pasukan pelawat diperoleh
melalui Pablo Aimar dan Safee Sali.
Smith yang puas hati dengan keputusan perlawanan itu turut memberi
penghargaan kepada kesemua anak buahnya kerana mempersembahkan semangat juang
yang tinggi untuk meraih tiga mata penuh.
Katanya, Pahang banyak menghasilkan peluang untuk menjaringkan gol melalui
beberapa cubaan seperti tandukan Fauzi dan sepakan percuma yang diambil oleh
Azidan, namun gagal menerjah gawang lawan.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat banyak kelemahan yang dikesan dalam
perlawanan tersebut lebih-lebih lagi membabitkan barisan pertahanan yang
dilihat mudah alpa dengan askaan pasukan pelawat.
"Dua gol yang dihasilkan oleh Johor DT itu berpunca kelekaan barisan
pertahanan yang tidak berupaya menghidu pergerakan lawan.
"Tetapi barisan pertahan berjaya bangkit dan saya puji komitmen mereka
kerana tidak memberi peluang kepada pemain seperti Aimar dan Luciano Figueroa
untuk bebas bergerak mencari peluang menjaringkan gol," katanya.
Mengulas mengenai kecederaan yang dialami oleh Azamuddin yang dikeluarkan
pada separuh masa pertama, Smith berkata, ia tidak serius dan pemain itu akan
berehat selama empat hari agar kecederaannya segera pulih.
KOSMO ONLINE 9.2.14
No comments:
Post a Comment