Pemain Selangor K. Gurusamy (kiri) diasak oleh pemain Sime Darby, Failee
Ghazli ketika cuba mengawal bola dalam perlawanan Liga Super di Stadium
Selayang malam tadi. Selangor menang 2-1 .
KUALA LUMPUR - Paulo Rangel memastikan Selangor kembali ke anak tangga
teratas carta Liga Super, memintas Sarawak, apabila menjaringkan dua gol untuk
memastikan pasukannya menang 2-1 ke atas Sime Darby di Stadium Selayang,
semalam.
Namun, Red Giants bermula dengan agak goyah apabila Mohd. Failee Muhd.
Ghazli memberikan gol pendahuluan buat Sime Darby pada minit pertama selepas
menerima hantaran lintang di sebelah kiri daripada Farderin Kadir.
Selangor yang bagaikan lambat panas akhirnya bangkit dengan gol penyamaan
pada minit ke-40 apabila Rangel mudah menyepak masuk bola ke dalam gawang
selepas pertahanan Sime Darby, Mohd. Fairuz Abdul Aziz gagal mengeluarkan bola
dari kawasan bahaya.
Percaturan jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic memasukkan Abdul Hadi Yahya
dan Andik Vermansah pada minit ke-75 berjaya menukar tempo permainan Red
Giants.
Melalui umpanan menarik Hadi dari sebelah kanan, Rangel menanduk kencang
untuk menewaskan Kamarul Effandi Abdul Rahim pada minit ke-84 untuk gol kelima
peribadinya dalam saingan Liga Super musim ini.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, meskipun dihimpit kontroversi
dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di
Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos Sabtu lalu, namun tidak sesekali menggugat
rentak permainan T-Team apabila mereka seri 2-2 dengan ATM.
Pasukan dipimpin Mohd. Azraai Khor Abdullah itu membuka tirai jaringan
menerusi bekas pemain Perak, Azlan Ismail pada minit ke-15.
Pelawat yang bekerja keras untuk mengikat kedudukan akhirnya mendapat hasil
pada minit ke-38 melalui rembatan kencang Nor Fazly Alias sebelum pemain import
Bruno Marteloto meletakkan ATM di depan dengan jaringan pada minit ke-59.
Bagaimanapun, maruah T-Team terselamat di depan penyokong sendiri apabila
Khairan Ezuan memastikan mereka berkongsi mata apabila berjaya membolosi gawang
gol pada penghujung perlawanan.
Di Stadium Perak, Ipoh, Khairul Asyraf Sahizah muncul wira tuan rumah
selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-79 untuk Bos Gaurus
menewaskan Kelantan 2-1.
Sebelum itu, Perak mendahului pada minit ke-13 hasil jaringan Shukri Hamid
namun pemain import pelawat, Mohamed Shawky mengikat kedudukan melalui gol pada
minit 55.
Sementara itu di Stadium Jalan Besar, menyaksikan Lions XII terus
tercari-cari rentak kemenangan di gelanggang sendiri apabila hanya mampu seri
tanpa jaringan menentang Terengganu. Sabtu lalu mereka tersingkir daripada
kempen Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Pahang.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140209/su_03/2-gol-Rangel-pastikan-Selangor-kembali-terajui-carta-Liga-Super#ixzz2sm5S4Z4D
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment