Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Gaduh, gaduh dan gaduh lagi. Inilah yang mewarnai Liga
Malaysia 2014 ketika ini apabila satu demi satu kejadian pergaduhan berlaku
sedangkan musim ini baru sahaja bermula.
Belum reda dengan insiden di terowong menuju ke bilik persalinan pemain di
Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu, kini timbul pula isu
membabitkan pergaduhan antara penyokong Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di
Stadium Darul Makmur malam semalam.
Ketika ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah mungkin menjadi individu
yang paling sakit kepala untuk memikirkan jalan penyelesaian terbaik kepada
masalah itu.
Beliau yang dihubungi mengakui, apa yang berlaku pada masa sekarang
bukanlah sesuatu yang baik, malah boleh membunuh kemeriahan bola sepak tempatan
jika gagal dibendung daripada sekarang.
Dalam masa sama, beliau berjanji akan meneliti segala bukti dan laporan
yang akan diserahkan oleh komisioner perlawanan yang bertugas sebelum
memutuskan terdapat sebarang kes atau diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib
yang dipengerusikan oleh Datuk Taufek Abdul Razak.
"Memang saya rasa dukacita dengan apa yang berlaku sekarang dengan
perkembangan terbaru pula melibatkan pertemuan Pahang dan JDT yang berlaku di
luar stadium malam tadi (semalam).
"Walaupun pergaduhan itu berlaku bukan di dalam stadium sekali pun,
komisioner perlawanan mempunyai kuasa untuk membuat laporan jika membabitkan
aspek keselamatan.
"Saya akan menunggu laporan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum memberi
kata putus dalam isu ini kerana banyak perkara perlu diteliti dan perkara ini
pasti akan disiasat oleh FAM jika terdapat bukti-bukti kukuh," katanya.
Tambahnya, kebimbangan para peminat untuk ke stadium pasti akan terjadi
jika budaya samseng yang membawa kepada pergaduhan menjadi satu trend dalam
kancah bola sepak tempatan.
"Tidak dinafikan mereka yang ada keluarga dan anak-anak kecil pasti
takut hendak ke stadium jika perkara ini berterusan, sepatutnya para penyokong
bersikap lebih profesional.
"Menang dan kalah adat pertandingan, tidak perlu dicemari dengan
insiden pergaduhan yang tidak membawa sebarang faedah kepada mana-mana
pihak," katanya.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140209/su_04/Bola-sepak-boleh-mati---Afandi#ixzz2sm0o3R00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment