Tunku Ismail Sultan Ibrahim
JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku
Ismail Sultan Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertamadun
segelintir penyokong bola sepak tanah air yang gemar mencetuskan provokasi
melampau sehingga membawa kepada pergaduhan.
Tunku Mahkota Johor berkata, apa yang lebih penting adalah penyokong
memberi sokongan kepada pasukan masing-masing dan mengelakkan daripada bergaduh
sesama sendiri apatah lagi sesama umat Islam.
"Segala persengketaan, provokasi, dan hina-menghina ini tiada
manfaatnya dan sekiranya diikutkan perasaan hasad dengki memang tiada
kesudahannya.
"Jangan terlalu mudah bangsa Melayu berpecah-belah sehingga
diperlekehkan oleh bangsa lain," katanya dalam laman Facebook rasmi
pasukan Johor Darul Tazim (JDT) dan JDTII, Johor Southern Tigers semalam.
Tunku Ismail dipercayai mengulas mengenai insiden pergaduhan yang tercetus
di luar Stadium Darul Makmur selepas perlawanan Liga Super di antara pasukan
Harimau Selatan dan Tok Gajah yang berkesudahan pasukan tuan rumah mencatat
kemenangan 3-2 malam semalam.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang dan
berharap pasukan JDT berusaha lebih gigih lagi pada masa akan datang.
"Kepada para penyokong Johor dan pasukan negeri lain yang menjaga
disiplin dan tingkah laku, syabas saya ucapkan kepada anda semua,"
katanya.
Sehubungan itu, beliau juga mahu tindakan tegas diambil kepada penyokong
JDT dan negeri lain yang membuat kekacauan.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Johor, Azlan Afandi Saufee Afandi
menunggu sebarang keputusan daripada pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan
sebelum mengambil tindakan seterusnya.
Katanya, walaupun sudah menerima beberapa aduan daripada penyokong yang
berada di tempat kejadian, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak polis.
"Kami akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi menjalankan
siasatan. Sekiranya ada perbuatan penyokong JDT yang didapati melanggar
peraturan, kami akan mengambil tindakan terhadap mereka," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140209/su_05/TMJ-kutuk-insiden-di-Kuantan#ixzz2slzXl7aW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment