Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
KHAIRY (kanan) berjabat tangan
dengan Ballard selepas mengadakan sidang akhbar di Putrajaya semalam.
BAGI menepati janji membantu
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Majlis Sukan Negara (MSN) telah melantik
Robert J. Ballard menggalas jawatan sebagai Pengarah Teknikal.
Dengan kontrak awal selama dua
tahun dan kemudiannya akan dinilai bagi tempoh dua tahun lalu, Ballard
diberikan tanggungjawab untuk membangun dan melaksanakan program-program
prestasi tinggi atlet olahraga negara.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau melihat pelantikan bekas pelari 400 meter
Australia itu sebagai langkah yang tepat.
"Kami pernah berjanji
bahawa perlu satu usaha untuk membantu KOM menjayakan program pembangunan
supaya kami boleh meletakkan kembali Malaysia sebagai satu gergasi terutama di
peringkat Asia Tenggara.
"Dengan pelantikan
Ballard, saya yakin pengalaman sebagai seorang konsultan yang sudah lama
bergiat aktif dalam sukan olahraga, beliau dapat menambah baik program di bawah
KOM," kata Khairy pada sidang akhbat di Menara KBS, Putrajaya semalam.
Ballard pernah bertugas sebagai
konsultan dan jurulatih kecergasan di bawah Persatuan Tenis Indonesia pada 2009
hingga 2011.
Dalam tempoh tersebut, Ballard
turut membantu skuad olahraga Indonesia dan beliau merupakan individu yang
bertanggungjawab melahirkan atlet pecut sensasi, Suryo Agung Wibowo.
Sejak dua tahun lalu, Ballard
menjadi jurulatih kecergasan beberapa pemain tenis antarabangsa, antaranya
Saina Mirza dari India, Aisam Qureshi (Pakistan) dan Dmitry Tursunov (Rusia).
Berdasarkan 'resume' yang
dimiliki Ballard, KBS meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepadanya untuk
melahirkan 'sang juara' pada Sukan SEA 2017.
Kini, Ballard diberikan tempoh
sebulan bermula dari bermula tugasnya awal bulan ini untuk merangka kertas
cadangan dan pelan pembangunan untuk dikemukakan kepada MSN dan KOM.
Dalam pada itu, Ballard percaya
kepakaran yang dimilikinya mampu untuk melahirkan atlet yang disegani suatu
hari nanti.
"Jurulatih-jurulatih di
Malaysia mempunyai pengetahuan yang baik dalam bidang masing-masing tetapi
sedikit lemah dalam mengaplikasikan ilmu yang ada kepada atlet.
"Jika ada bakat yang bagus
dalam acara pecut, saya akan cuba untuk membentuk mereka ini menjadi yang
terbaik," ujar Ballard.
Presiden KOM, Datuk Zainal
Abidin Ahmad pula mendedahkan, rombakan dalam sistem kejurulatihan mungkin akan
berlaku dan ia berkemungkinan akan diterajui Ballard.
"Kami akan menilai semula
prestasi jurulatih-jurulatih kerana saya dapati ada atlet kita sejak 2007
hingga sekarang tidak menunjukkan kemajuan.
"Kami akan lihat mengapa
jurulatih-jurulatih tidak boleh meningkatkan prestasi mereka," kata
Zainal.
KOSMO ONLINE 6.2.14
No comments:
Post a Comment