Ad

Saturday, 8 February 2014

Demi survival, ritual dan status


 

TENGKORAK yang terdapat di rumah panjang kaum Iban pada tahun 1956. - GAMBAR JABATAN MUZIUM SARAWAK
SURVIVAL, ritual dan status antara faktor utama yang mendorong berlakunya aktiviti pemburuan kepala yang berlaku beratus tahun lalu di Sarawak.

Kegiatan itu yang kini menjadi tarikan dan keunikan Sarawak dilakukan oleh kebanyakan kaum pribumi di negeri itu.

Menurut Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Dr. Neilson Ilan Mersat, secara tepatnya bila kegiatan itu bermula dan berakhir tidak diketahui kerana tiada tarikh khusus.

"Aktiviti manusia membunuh manusia yang lain sama ada dengan cara memenggal kepala ataupun cara-cara lain sememangnya berlaku di banyak tempat di dunia dan bukan hanya di kepulauan Borneo.

"Namun mungkin di tempat lain berlaku pada peringkat lebih awal seperti zaman jahiliah.

"Pokoknya perbuatan itu sama iaitu manusia membunuh manusia dan bukanlah unik di Borneo sahaja," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Dr. Neilson berkata, walaupun kegiatan memburu diamalkan oleh kebanyakan etnik negeri itu tetapi masyarakat Iban merupakan etnik yang terkenal dengan pemburuan kepala atau ngayau.

"Kepercayaan Iban suatu ketika dahulu bahawa mereka perlu mendapatkan kepala manusia bagi mengakhiri kematian yang berpanjangan.

"Khabarnya, dahulu dikatakan berlaku banyak kematian setiap masa dari pagi, petang, siang dan malam di rumah panjang di Kapuas.


GAMBAR bertarikh 1977 menunjukkan pawang wanita kaum Bidayuh membuat persiapan upacara memuja tengkorak. - GAMBAR JABATAN MUZIUM SARAWAK
"Justeru, dewa Puntang Raga menjelma dan memberitahu seorang bernama Serapoh untuk mendapatkan kepala manusia bagi mengakhiri waktu berkabung di situ," jelasnya.

Tambahnya, bermula dari situ, ia menjadi ritual dan salah satu sebab masyarakat Iban mengamalkan kegiatan ngayau.

Neilson menjelaskan, kegiatan memburu kepala sebenarnya ada kaitan dengan kelangsungan hidup atau survival seseorang.

"Dalam persekitaran yang buas dan ganas, seseorang itu akan berada dalam dua keadaan sama ada dia membunuh atau membenarkan diri sendiri dibunuh.

"Bagi kumpulan yang bergerak atau berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain dalam kumpulan yang lebih kecil, itulah situasi yang mereka hadapi pada zaman dahulu," jelasnya.

Katanya, tiada peraturan dikuatkuasakan, tetapi ia berdasarkan undang-undang rimba yang bermaksud siapa gagah atau kuat dialah berkuasa," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140208/lk_01/Demi-survival-ritual-dan-status#ixzz2smBAbBuC © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment