Ad

Saturday, 8 February 2014

Nalla tidak gentar ugutan

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my
 
S. NALLAKARUPPAN menunjukkan laporan polis mengenai ugutan yang diterimanya selepas mengumumkan diri berhasrat untuk bertanding di DUN Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/ROY AZIS ABD. AZIZ
KUALA LUMPUR 8 Feb. - Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan tidak gentar untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang walaupun menerima ugutan agar melupakan hasrat itu.

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) itu yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini menegaskan, ugutan berunsur amaran itu langsung tidak mematahkan semangatnya untuk mendedahkan siapa sebenar Ketua Pembangkang itu kepada pengundi Kajang sebaik sahaja tempoh berkempen bermula pada 11 Mac depan.

Menurut beliau, sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding melawan Anwar, tiga individu yang dipercayai penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengunjungi rumahnya dan bertanya adakah benar beliau mahu menjadi calon.

"Walaupun pelbagai cara mereka buat (untuk menghalang saya bertanding) saya tidak takut.

"Saya terima banyak panggilan telefon dan SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk mendedahkan rahsia saya, saya percaya dia buat begitu kerana takut pendedahan mengenai Anwar dengan Shamsidar (isteri Azmin Ali), tunggulah selepas penamaan calon saya akan tetap 'buka mulut' semasa berkempen nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis kira-kira pukul 3 petang berhubung ugutan yang diterimanya itu, di sini hari ini.

Anwar dinamakan sebagai calon PKR dalam PRK DUN Kajang yang dijadual berlangsung 23 Mac ini.

PRK DUN Kajang diadakan apabila Lee Chin Cheh daripada parti itu meletakkan jawatan tanpa sebarang alasan pada hujung bulan lalu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Berikutan itu, Nallakaruppan menyatakan kesediaannya untuk melawan Anwar supaya penduduk kawasan tersebut tidak tertipu dengan Penasihat PKR tersebut.

Dalam pada itu, Nallakaruppan berkata, walaupun tidak dipilih untuk mewakili BN pada PRK itu, beliau tetap akan menyokong siapa sahaja yang diletakkan sebagai calon sekali gus akan hadir pada setiap kali kempen yang akan digerakkan.

"Siapa sahaja yang bertanding saya akan sokong kerana kita tidak mahu Anwar jadi wakil rakyat di Kajang.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140209/po_01/Nalla-tidak-gentar-ugutan#ixzz2sm9gbTVO © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment