Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
Karlo Primorac (kanan) dihalang
pemain Sime Darby, Dzulfahmi Abdul Hadi pada perlawanan Liga Super di Stadium
MP Selayang, malam tadi. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR - Ketiadaan Mohd.
Nazmi Faiz Mansor dan Patrick Ronaldinho Wleh menyebabkan PKNS gagal mengutip
mata penuh apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sime Darby dalam
perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Pengendali PKNS, Wan Jamak Wan
Hassan mengakui, dua pemain tersebut mampu memberi impak yang sangat besar buat
PKNS dan ketiadaan mereka amat dirasai.
"Nazmi digantung satu
perlawanan, manakala Patrick Ronaldinho mengalami kecederaan ketika menentang
Kelantan," kata Wan Jamak.
Pada perlawanan semalam, Sime
Darby dilihat lebih banyak mencipta peluang untuk menghasilkan gol, terutama
pada separuh masa pertama.
Peluang terbaik Sime Darby
hadir pada minit ke-14 menerusi gerakan solo pemain import dari Syria, Muhmoud
Al Amna dalam kotak penalti PKNS namun rembatannya menyebabkan bola melayang
tinggi sebelum gerakan rakan sepasukan Wisdom Agblexo gagal memanfaatkan
peluang diraih pada minit ke-38.
Selepas ini PKNS dijadual
menentang Perak pada 8 Mac ini manakala Sime Darby akan menentang Johor Darul
Ta'zim (JDT) pada hari yang sama.
Sementara itu dalam perlawanan
Liga Perdana, jaringan hatrik Ali Ashfaq membantu PDRM membelasah pasukan
tangga tercorot, Perlis 7-1 di Stadium Petaling Jaya semalam, sekali gus mengukuhkan
cengkaman selaku pendahulu.
Pemain Maldives itu meledak gol
pada minit ke-15, 51 dan 85 dalam perlawanan yang jelas berat sebelah.
Seorang lagi pemain import
PDRM, Charles Souza Chad dari Brazil menambah dua gol pada minit ke-49
(penalti) dan 65.
Bobby Gonzales dan Khairul
Izuan Abdullah masing-masing menjaringkan satu gol, manakala jaringan saguhati
Perlis dihasilkan pemain dari Ivory Coast, Dao Bakary pada minit ke-55.
Sementara itu, JDT II bangkit
daripada kekalahan mengejut 2-3 kepada DRB-Hicom minggu lalu dengan menumpaskan
wakil Pulau Pinang, PBAPP 1-0 di Stadium Pasir Gudang. Gol tunggal tuan rumah
disempurnakan oleh See Kok Luen pada minit ke-67.
Di Stadium Darul Aman, Alor
Setar,Kedah tumbang 0-1 kepada Negeri Sembilan.
Di Stadium Hang Jebat, SPA
Putrajaya kalah besar 0-4 kepada Felda United, manakala di Stadium UiTM Shah
Alam, Sabah mencatat kemenangan keduanya musim ini dengan menumpaskan tuan
rumah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1-0 dan di Stadium Bandaraya Pulau
Pinang menang 2-1 ke atas DRB Hicom.
SUMBER:Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140215/su_03/Hambar-di-Selayang#ixzz2tLLhJm5G
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment