Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR - Segelintir
penyokong dan juga ultras di beberapa negeri tidak bersetuju dengan pekeliling
terbaharu dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melarang
mereka membawa tiang atau objek keras ke dalam stadium untuk mengikat bendera,
dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta badan induk tersebut
mengkaji semula arahan itu.
Menurut Khairy, beliau memahami
perasaan dan kehendak penyokong yang ingin membawa kayu atau tiang untuk
mengibarkan bendera pasukan masing-masing.
Sehubungan itu beliau meminta
FAM menilai kembali peraturan tersebut seperti amalan di peringkat
antarabangsa.
"FAM perlu melihat perkara
ini berdasarkan undang-undang antarabangsa. Jika betul kayu itu boleh menjadi
senjata maka (larangan) perlu dipatuhi oleh peminat bola sepak tempatan,"
katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
FAM mengeluarkan pekeliling tersebut
Selasa lalu dengan memohon persatuan bola sepak negeri dan kelab bekerjasama
dengan pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Simpanan
Persekutuan (FRU) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) bagi memastikan
penyokong pasukan tidak membawa barang dilarang.
Ujar Khairy, FAM perlu melihat
kembali perkara tersebut selepas menerima banyak respons di media sosial yang
meminta agar tiang, kayu atau sebarang objek keras dibenarkan kerana digunakan
untuk mengikat bendera pasukan yang disokong.
"Saya hanya meminta FAM
mengkaji perkara ini berdasarkan peraturan dan norma antarabangsa, sama ada
benda ini mempunyai risiko untuk dijadikan sebagai senjata. Mereka perlu
memahami permintaan penyokong," katanya.
Beliau juga meminta agar FAM
mengambil tindakan dengan cepat tentang isu samseng bola sepak agar tidak
merebak sehingga mengancam keselamatan serta mengganggu penyokong lain.
"Samseng bola sepak bukan
perkara baharu, sebelum ini pun memang ada sebilangan kecil kumpulan penyokong
yang ganas, tetapi tidak sampai ke tahap mengganggu penyokong lain dengan
menggunakan kekerasan seperti mana yang kita dapat lihat beberapa minggu lepas.
"Saya sudah membangkitkan
perkara ini kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, agar perlawanan
bola sepak tidak menjadi persekitaran yang bahaya kepada anak-anak kecil, saya
tidak mahu mereka merasakan diri mereka berada dalam keadaan bahaya sebab
pergaduhan tercetus," katanya.
Tambahnya, FAM perlu menangani
isu samseng bola sepak ini dengan tegas seperti dilakukan oleh Persatuan Bola
Sepak England pada era 80-an dan 90-an apabila mereka bekerjasama dengan pihak
polis dan stadium.
SUMBER:
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140214/su_01/Khairy-minta-kaji-larangan-bawa-kayu-bendera#ixzz2tLKIfTT3
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment