Oleh ROSALINDA MD. SAID-sukan@utusan.com.my
Irfan Abdul Ghani
KUALA TERENGGANU - Semua pemain T-Team, termasuk bekas pemain Johor Darul
Ta'zim, Muhd. Irfan Abdul Ghani tidak akan terkecuali daripada mengangkat
sumpah seperti yang diminta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk mencari
kebenaran berhubung insiden di Larkin.
Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh berkata, Muhd. Irfan akan
diminta untuk turut berbuat demikian bersama semua pemain beragama Islam dalam
pasukan itu yang sudah menyatakan kesediaan untuk melakukannya pada bila-bila
masa sahaja.
"Buat masa ini, kami masih menunggu tarikh sesuai yang ditetapkan
untuk mengangkat sumpah dan kami mahu Irfan turut melakukannya bersama pemain
lain yang menjadi saksi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini
semalam.
Bagaimanapun, Muhd. Irfan yang membuat kenyataan memihak kepada pasukan
lawan berhubung insiden di dalam terowong ke bilik persalinan di Stadium Tan
Sri Hj. Hassan Yunos minggu lalu dipercayai masih berada di Johor dan tidak
dapat dihubungi untuk mendapatkan pendiriannya.
Sukan Utusan difahamkan Ahmad pula berada di Kenyir bagi menghadiri satu
program dan akan pulang hari ini sebelum menghadiri satu lagi program di
Putrajaya. Difahamkan beliau hanya mempunyai kelapangan sama ada pada hari Rabu
atau Khamis ini.
Kelmarin, Ahmad meminta pegawai dan pemain T-Team mengangkat sumpah untuk
membuktikan kebenaran berhubung insiden yang berlaku semasa perlawanan pusingan
kedua Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.
Kenyataan tegas Menteri Besar Terengganu itu berikutan tindakan Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberi
kemenangan 3-0 kepada JDT, sekali gus melayakkan pasukan Harimau Selatan itu ke
suku akhir selepas T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua.
Dalam perkembangan sama, Ab. Rasid berkata, nasib Muhd. Irfan akan
ditentukan pihak pengurusan pasukan itu dalam masa terdekat kerana kegagalannya
menghadiri latihan serta dakwaan pemain itu yang menyatakan tiada sebarang
insiden tidak diingini berlaku ketika perlawanan itu.
"Yang pasti, dia tidak terlibat dalam perlawanan antara T-Team
menentang ATM malam ini (malam tadi)," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140209/su_02/Irfan-juga-mesti-angkat-sumpah#ixzz2sllQLRyC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment