Ad

Saturday, 8 February 2014

Kekecohan di luar Stadium Darul Makmur

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my
 
ANGGOTA polis terpaksa mententeramkan penyokong Johor DT yang tidak berpuas hati sdengan kekalahan pasukan mereka kepada Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) beranggapan, kemungkinan ada orang lain yang tidak senang melihat perjalanan sesebuah perlawanan bola sepak berlangsung dengan baik dan aman.

Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim berkata demikian ketika mengulas insiden buruk yang berlaku mengakibatkan ketegangan antara kedua-dua penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Darul Makmur malam kelmarin.

Beliau yakin penyokong setia sukan tersebut lebih-lebih lagi dari negeri Pahang, tidak akan bertindak sewenang-wenangnya untuk mencetuskan provokasi yang boleh mengundangkan kepada situasi kelam-kabut kerana mereka hanya hadir untuk menyaksikan perlawanan bola sepak dan pulang dengan selamat.

Sambil melahirkan rasa hairan terhadap kejadian yang berlaku itu, tidak mustahil wujud unsur luar yang menjadikan keadaan seperti malam kelmarin itu berlaku.

"Ini bukan kali pertama PBNP berdepan dengan perlawanan bola sepak, kita sudah berjumpa dengan wakil kelab penyokong dan meminta mereka supaya berkelakuan baik dan terus menyokong pasukan tanpa perlu berbuat provokasi kepada pasukan serta penyokong pelawat.

"Saya juga percaya perkara yang sama turut dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tetapi ia masih juga berlaku sehingga mengundang kesusahan kepada orang lain.

"Saya tak mahu tuduh, tetapi tidak mustahil ada pihak lain yang tak suka perlawanan bola sepak berlangsung dengan aman dan berakhir tanpa insiden buruk," katanya ketika dihubungi Kosmo di Kuantan semalam.


SEORANG penyokong yang cuba mencetuskan kekecohan di luar Stadium Darul Makmur, Kuantan ditahan oleh anggota polis sebaik selesai perlawanan Liga Super antara Pahang dengan Johor DT malam kelmarin yang berkesudahan Pahang menang 3-2.

Selepas perlawanan yang berakhir dengan skuad Tok Gajah memperoleh kemenangan 3-2 ke atas Johor DT, berlaku insiden pergaduhan antara penyokong di luar stadium sehingga memaksa pihak polis bertindak untuk mengawal keadaan.

Fuzzeimi yang terkejut dengan kejadian tersebut memberitahu, ia hanya diketahui selepas membaca laporan akhbar pagi ini (semalam).

"Setakat ini, saya tak terima apa-apa laporan mengenai kejadian yang berlaku, saya dapat tahu hanya apabila membelek surat khabar," ujarnya.

Beliau berkata, segala aspek keselamatan sudah dirancang dengan teliti dengan pihak polis bagi memastikan perjalanan perlawanan berjalan dengan lancar.

Katanya, keutamaan turut diberikan kepada pasukan pelawat dan penyokong mereka yang hadir dengan memberi kawalan keselamatan yang dibantu oleh pihak polis dalam memastikan mereka selesa bertandang ke Kuantan.

"PBNP buat semua ini bukan hanya semata-mata sebab Johor DT, tetapi untuk pasukan yang lain juga selepas ini yang bakal bermain di stadium ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Fuzzeimi memberitahu, maklumat awal yang dimaklumkan oleh PBNJ pada hari Rabu lalu, penyokong Johor DT tidak akan hadir ke stadium meskipun terdapat peruntukan 100 tiket yang disediakan.

Perkara itu disahkan sekali lagi oleh pengurusan Johor DT pada sebelah pagi sebelum perlawanan berlangsung melalui panggilan telefon.

Bagaimanapun kehadiran penyokong Johor DT dengan menaiki empat buah bas hanya diketahui pada sebelah petang oleh pihak polis, beberapa jam sebelum perlawanan bermula.

KOSMO ONLINE 9.2.14

No comments:

Post a Comment