SEBAHAGIAN penyokong Pahang berkumpul di luar Ibu Pejabat Polis Daerah
Pekan selepas penyokong Johor DT melakukan provokasi pada aksi Liga Super
antara kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.
PROVOKASI antara penyokong pasukan Liga Super Johor Darul Takzim (Johor DT)
dan Pahang yang pada mulanya tercetus sebaik tamat perlawanan di Stadium Darul
Makmur, Kuantan malam kelmarin dilapor berlarutan hingga ke Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Pekan.
Provokasi berlaku selepas empat buah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna
yang membawa kira-kira 180 penyokong Johor DT memasuki perkarangan IPD Pekan
untuk membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt. Yahaya Othman berkata kumpulan itu yang
dalam perjalanan pulang ke Johor singgah kira-kira pada pukul 11.30 malam
kelmarin untuk membuat laporan berhubung dakwaan pergaduhan serta kerosakan
pada kenderaan mereka.
"Keadaan ketika rombongan bas penyokong Johor DT tiba pada awalnya
adalah terkawal namun selepas itu bilangan penyokong Pahang yang turut menunggu
di hadapan IPD Pekan menjadi semakin ramai sehingga pihak berkuasa terpaksa
meleraikan keadaan tersebut.
SALAH seorang penyokong Johor DT yang cedera dipercayai terkena balingan
objek keras di luar stadium selepas pertandingan Liga Super antara Pahang
dengan Johor DT di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.
"Ia menjadi semakin tegang apabila penyokong Johor DT dan Pahang
kembali memulakan provokasi dan sekumpulan penyokong Johor DT telah bertindak
keluar daripada kawasan IPD.
"Tindakan provokasi itu telah mencetuskan pergaduhan antara penyokong
kedua-dua pasukan menyebabkan beberapa penyokong dan orang awam
tercedera," katanya kepada pemberita di Pekan semalam.
Yahaya berkata bagaimanapun pihak polis berjaya mengawal pergaduhan dan
mengawal situasi sebelum semua penyokong Johor DT berkenaan kembali menaiki bas
mereka dan bergerak pulang ke Johor dengan diiringi kawalan pihak berkuasa.
"Setakat ini, polis menerima empat laporan berkaitan kejadian yang
berlaku di Kuantan dan Pekan dan masih menjalankan siasatan terperinci bagi
mencari punca serta melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian
tersebut," katanya. - Bernama
KOSMO ONLINE 9.2.14
No comments:
Post a Comment