Ad

Saturday, 1 February 2014

Keluarga tempat Vivian menghilangkan tekanan

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
 
VIVIAN (enam dari kanan) menyambut Tahun Baru Cina bersama seluruh ahli keluarganya semalam.

BERKUMPUL bersama keluarga ketika sambutan Tahun Baru Cina merupakan salah satu cara bagi pemain badminton negara, Vivian Hoo untuk melepaskan tekanan selepas sibuk menjalani latihan dan mengikuti kejohanan sepanjang tahun.

Pemain berusia 24 itu turut mengakui, cuti selama seminggu memberi peluang kepadanya untuk tampil dengan lebih segar sebelum menyambung sesi latihan di Stadium Juara bagi mengharungi jadual kejohanan yang lebih padat pada musim ini.

“Sambutan Tahun Baru Cina merupakan hari yang saya tunggu-tunggu kerana pada waktu ini saya dapat berkumpul bersama ahli keluarga.

“Saya terlalu sibuk dengan latihan dan sering ke luar negara untuk menyertai kejohanan, kadang-kadang pulang rumah pun tidak selalu berjumpa dengan ayah dan ibu kerana terlalu letih dan mahu berehat.

“Jadi, hanya masa ini sahaja saya dapat berjumpa dan bermesra bersama mereka. Boleh dikatakan sambutan Tahun Baru Cina memberi saya peluang untuk melepaskan tekanan dan apabila kembali berlatih nanti saya akan rasa lebih segar,” kata Vivian.

Pada tahun ini, Vivian yang bergandingan dengan Woon Khe Wei dalam acara beregu wanita bukan sahaja perlu menempuhi kejohanan-kejohanan Grand Prix dan Siri Super tetapi mereka juga akan menghadapi Sukan Komanwel, Sukan Asia.

Bersempena dengan Tahun Kuda pada kali ini, pemenang pingat emas acara beregu wanita Sukan SEA Myanmar itu juga tidak menafikan bahawa dia turut mengharapkan keputusan yang cemerlang ketika beraksi di Sukan Komanwel di Scotland serta Sukan Asia di Korea Selatan nanti.

“Keutamaan saya pada kali ini adalah pada Sukan Komanwel kerana saya tidak pernah beraksi pada kejohanan itu tetapi ia tidak bermakna saya tidak melihat kejohanan-kejohanan yang lain penting.

“Saya juga mengharapkan perkara yang sama pada Sukan Asia tetapi ia mungkin sukar kerana pemain-pemain yang kuat dari China dan Korea Selatan akan beraksi pada kejohanan itu. Pemain-pemain Asia juga ramai yang hebat.

“Saya harap kami berpeluang meraih pingat pada kejohanan itu tetapi saya tidak mahu fikir lagi pingat apa kerana ia hanya akan membuatkan kami rasa tertekan ketika beraksi,” tambah Vivian.

Sebaik sahaja kembali menyertai latihan pada Selasa depan, Vivian- Khe Wei akan mempersiapkan diri bagi menghadapi Grand Prix Emas Terbuka Jerman dan Siri Super Seluruh England hujung bulan ini dan awal Mac depan.

Permulaan tahun ini agak hambar bagi mereka apabila tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia dan ke separuh akhir Terbuka India.

KOSMO ONLINE 1.2.14

No comments:

Post a Comment