KHIDMAT Indra Putra Mahayuddin
amat ditagih ketua jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim menjelang
pertemuan pusingan kedua kempen Piala FA 2014 menentang Sime Darby FC di
Stadium Majlis Perbadaran Selayang, Selasa ini.
Bekas penyerang Kelantan itu
masih lagi belum memperagakan kehebatannya bersama The Settlers dalam kancah
Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Ia gara-gara Indra mengalami
kecederaan sebelum tirai Liga M musim ini dibuka pada 17 Januari lalu yang
menyaksikan Felda United terpaksa 'berputih mata' menagih kudrat pemain
berpengalaman itu.
Bagaimanapun, Irfan memberikan
khabar gembira kepada kem Felda United apabila mengesahkan kecederaan yang
dialami pemain berusia 32 tahun itu telah sembuh sepenuhnya.
"Indra sudah pulih dan
mula menjalani latihan bersama pasukan hari ini (semalam). Menentang Sime Darby
(Selasa depan) merupakan perlawanan pertamanya bersama Felda United musim ini.
"Semua pemain berada di
tahap memberangsangkan ketika ini. Saya cuma berharap agar pertahanan import
kami (Yaroslav Krushelnitskiy) juga dapat menyertai pasukan berdepan Sime Darby
nanti," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, bekas
pengendali Selangor musim lalu itu bertindak merendah diri dengan menganggap
peluang antara pasukannya dan Sime Darby untuk memenangi perlawanan pusingan
kedua Piala FA itu adalah terbuka.
"Saya rasa antara kami dan
Sime Darby tidak banyak bezanya. Apa yang ketara sekali ialah mereka beraksi di
Liga Super dan kami pula di Liga Premier musim ini.
"Saya cuma harapkan para
pemain saya dapat bermain sebagai satu pasukan seperti mana dipamerkan ketika
menewaskan Sabah pada aksi Liga Premier (Isnin lalu).
"Kami berjaya bangkit dan
menjaringkan tiga gol daripada ketinggalan 0-1 menerusi dua gol daripada Edward
(Junior Wilson) dan satu gol oleh Zah Rahan (Krangar)," katanya lagi.
The Settlers berjaya mara ke
pusingan kedua Piala FA selepas kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 pada 21
Januari lalu.
Skuad bimbingan Irfan itu juga
telah mencatatkan satu kemenangan (3-1 ke atas Sabah) dan satu seri (1-1 dengan
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) pada aksi Liga Premier musim ini dan akan
bertemu Negeri Sembilan untuk perlawanan liga seterusnya di Stadium Tuanku
Abdul Rahman Paroi, Jumaat depan.
KOSMO ONLINE 1.2.14
No comments:
Post a Comment