Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
AZLAN
NAMPAK gayanya, insiden 'panas'
yang melibatkan pasukan T-Team dan Johor Darul Takzim (Johor DT) dilihat
semakin berlarutan.
Sabtu lalu, T-Team bertindak
mengambil keputusan untuk menarik diri pada aksi kedua Piala FA di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru.
Ia gara-gara The Titans
dilaporkan enggan mengambil risiko untuk meneruskan baki separuh masa kedua
selepas pemain import Brazil, Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan,
Stefano Impagliazzo didakwa dikasari dalam terowong ketika menuju ke bilik
persalinan.
Skuad kendalian Mohd. Azraai
Khor Abdullah bertindak meninggalkan stadium di Larkin itu selepas menyaksikan
Johor DT mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
Semalam, seorang pemain T-Team,
Muhammad Irfan Abdul Ghani tampil memberikan kenyataan berbeza tanpa
pengetahuan majikannya.
Irfan mencetuskan skrip baharu
apabila mendedahkan tiada sebarang insiden kekasaran berlaku pada aksi kedua
Piala FA di Larkin.
Irfan ketika memberi kenyataan
selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan polis di Johor Bahru semalam
mendakwa, dia berada di belakang penyerang Brazil, Rodrigues ketika insiden
tersebut dan menegaskan perlawanan tersebut sebenarnya selamat diteruskan.
Bekas pemain Harimau Selatan
itu turut mendakwa, penolong jurulatih, Azlan Johar yang sebenarnya membuat
keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua dan mengarahkan
pasukan meninggalkan stadium.
Mengulas mengenai kenyataan
Irfan, Azlan mendedahkan, dia tidak berhak membuat keputusan untuk membatalkan
aksi separuh kedua itu.
"Ia satu dakwaan yang
betul-betul tidak logik. Saya masih ada ketua jurulatih (Azraai Khor) dan Ketua
Eksekutif T-Team (Abdul Rasid Jusoh). Takkan saya pandai-pandai untuk membuat
keputusan?
"Dia (Irfan) tidak
menjalani sesi latihan selama dua hari dan memberikan alasan kepada pihak
pengurusan T-Team kerana ada urusan keluarga di Johor.
"Dia adalah pemain
simpanan. Dia langsung tiada bersama skuad utama ketika menuju ke bilik
persalinan dan kami telah membuat keputusan (menarik diri untuk separuh masa
kedua) ketika dia bermain di dalam padang (bersama pemain-pemain simpanan
lain).
"Sebagai pemain simpanan,
dia bukannya bersama pemain-pemain utama masuk dalam terowong ketika menuju ke
bilik persalinan.
"Jadi, saya menganggap dia
adalah pengkhianat T-Team," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Dalam perkembangan sama, Azlan
berharap insiden panas di Larkin itu dapat membuka mata ramai pihak bahawa
T-Team tidak terlintas untuk membuat kontroversi 'murahan'. Kami berbuat
demikian demi keadilan untuk The Titans serta keselamatan pemain.
"Darah saya yang mengalir
ini telah dididik oleh jurulatih-jurulatih hebat negara seperti Allahyarham
Mohktar Dahari sejak dari kecil lagi.
"Mereka telah mendidik
saya dan memastikan darah saya mengalir dengan penuh semangat kesukanan. Mereka
telah mendidik saya tentang erti semangat kesukanan dan bukannya mencetuskan
kekecohan. Ini adalah sukan.
"Saya tahu dengan adanya
semangat kesukanan, saya akan menjadi manusia yang baik. Jadi, mengapa saya
harus membuat fitnah?," ujarnya.
KOSMO ONLINE 6.2.14
No comments:
Post a Comment