Oleh HAFIZ ABBAS
@kosmo.com.my
IRFAN (kanan) ketika bercakap
kepada media pada satu sidang akhbar di Johor Bahru semalam.
PERLAWANAN pusingan kedua Piala
FA antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan T-Team sepatutnya diteruskan kerana
tiada pemain mahupun jurulatih pasukan dari Pantai Timur itu tercedera ketika
insiden 'panas' dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada Sabtu lalu.
Pemain T-Team, Muhammad Irfan
Abdul Ghani, 25, yang tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Johor di Johor Bahru semalam menjelaskan, dia yang berada di lokasi kejadian
ketika itu tidak melihat berlakunya kekasaran sehingga menyebabkan kecederaan
antara kedua-dua belah pihak.
"Saya nampak tiada apa
(yang berlaku), cuma jurulatih kecergasan T-Team menolak jurulatih JDT di luar
dan apabila mereka masuk ke terowong, polis serta pegawai keselamatan berjaya
menyuraikan mereka.
"Ketika dalam bilik
persalinan, penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar menasihatkan pemain agar
jangan main ekoran insiden yang berlaku dalam terowong.
"Dia juga menjelaskan,
jangan main sebab ada pemain tercedera tetapi saya nampak semua pemain T-Team
tiada yang cedera manakala ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah hanya
senyap dan mengikut arahan," katanya pada sidang akhbar di Johor Bahru
semalam.
Irfan yang bermain di posisi
pertahanan dan pernah mewakili Johor DT sebelum ini juga mengakui tidak melihat
ada dalam kalangan pasukannya mengalami pendarahan sebagaimana didakwa.
"Saya tidak nampak sesiapa
pun dalam pasukan T-Team yang mengalami pendarahan hidung.
"Jurulatih kecergasan kami
juga tidak mengalami apa-apa kecederaan dan keesokan harinya (semua) boleh
berlatih macam biasa," jelasnya.
Justeru, dia berpendirian
perlawanan tersebut tidak sepatutnya ditangguhkan kerana pegawai Persatuan Bola
sepak Malaysia (FAM) dan pihak keselamatan telah memberi lampu hijau agar ia
diteruskan kerana segalanya terkawal.
"Sebagai pemain, saya rasa
selamat untuk bermain pada malam itu kerana pihak keselamatan dan pegawai FAM
memaklumkan semuanya baik dan permainan boleh diteruskan.
"Saya juga tidak rasa
terancam dan sebab itu saya tampil memberi keterangan pada hari ini (semalam)
untuk memberitahu perkara sebenar," katanya.
Dalam pada itu, dia juga
sanggup menerima apa sahaja tindakan yang bakal dihadapinya daripada pihak
pengurusan T-Team ekoran tindakannya memberi keterangan berkaitan kejadian
tersebut.
Pada tengah malam Ahad lalu,
pemain T-Team, pihak pengurusan dan jurulatih kecergasan pasukan berstatus
kelab itu membuat laporan polis di IPK Kuala Terengganu berkaitan insiden itu.
Ekoran laporan itu, ketua
jurulatih Johor DT, Cessar Ferrando Jimenez pula tampil membuat laporan polis
di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru kelmarin.
KOSMO ONLINE 6.2.14
No comments:
Post a Comment