Ad

Thursday, 6 February 2014

Legasi jurulatih bola sepak negara

 Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
 
MALAYSIA berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama selepas menang agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
BOLA sepak dikatakan datang ke Tanah Melayu bersama penjajah British sekitar abad ke-19. Selepas itu, sukan tersebut mendapat tempat di hati rakyat sehingga hari ini. Kini, ia menjadi antara sukan utama negara.

Dari sudut jaringan, kemenangan terbesar pernah dicapai pasukan negara adalah terhadap pasukan Filipina pada 1962 dengan jaringan 15-1 dan rekod itu masih kekal sehingga kini. Pada tahun sama, negara memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Jakarta.

Namun, kemuncak kejayaan pasukan kebangsaan pada 1972 apabila mengalahkan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina untuk layak ke Sukan Olimpik, seterusnya mengalahkan pasukan dari Amerika Syarikat tetapi malangnya tewas kepada Jerman Barat dan Maghribi.

Pasukan negara sekali lagi memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Tehran dua tahun kemudian serta layak ke Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 1976 dan 1980.

Selain itu, pasukan kebangsaan turut layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980 tetapi memboikotnya bersama beberapa negara lain berikutan penjajahan Soviet ke atas Afghanistan.

Kejayaan peringkat antarabangsa terbaru pasukan bola sepak Malaysia adalah kemenangan ke atas Indonesia untuk menjulang Piala Suzuki pada 2010.

Bagaimanapun, semua kejayaan itu bukan hanya atas bakat pemain semata-mata. Jurulatih pasukan merupakan antara tunjang utama memastikan pasukan dapat bermain pada tahap terbaik dan mencapai sasaran.

Legasi jurulatih bola sepak negara mencatatkan banyak nama, ada yang dari luar dan ada dalam kalangan anak tempatan. Nyata sekali era paling menonjol pasukan kebangsaan rata-ratanya di bawah bimbingan anak tempatan seperti Abdul Ghani Minhat, Jalil Che Din, M. Kuppan, M. Chandran, Peter Vellapan dan K. Rajagobal.

Walaupun ada beberapa jurulatih luar seperti Dave McLaren dan Karl-Heinz Weigang mengasuh pemain ke pentas dunia, namun kebanyakannya gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Kemasukan ramai jurulatih luar ketika era 1990-an juga dilihat gagal mengembalikan zaman kegemilangan 1970-an dan 1980-an, malah teruk dibebani skandal rasuah bola sepak terbesar negara ketika itu sehinggakan sokongan peminat semakin luntur, sementara dana penajaan semakin berkurangan.

Dengan tamatnya kontrak jurulatih terkini pasukan negara, peminat tempatan tertanya-tanya adakah legasi pemimpin pasukan bola sepak Malaysia akan kekal dalam kalangan anak watan atau kembali kepada jurulatih luar?

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana_Sukan/20131207/rs_01/Legasi-jurulatih-bola-sepak-negara#ixzz2sXpjH0Ss © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment