KUALA TERENGGANU - Terengganu
menyifatkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kemenangan
3-0 kepada Johor Darul TaKzim (JDT) ke atas T-Team dalam saingan Piala FA sudah
dijangka dari awal lagi.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata,
beliau telah menjangkakan keputusan itu, sekali gus menutup peluang pasukan
berstatus kelab dari negeri itu ke peringkat suku akhir Piala FA.
"Keputusan yang diumumkan
FAM itu memang sudah dijangka dari awal lagi dan jangkaan itu memang tepat,”
katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan
mengulas lanjut berhubung keputusan tersebut.
Mesyuarat Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan FAM di Wisma FAM Kelana Jaya di Petaling Jaya, hari ini,
membuat keputusan memberi kemenangan perlawanan pusingan kedua itu kepada JDT
selepas T-Team didapati bersalah tidak menghabiskan baki perlawanan pada
separuh masa kedua.
Pada perlawanan di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos, Larkin Johor, Sabtu lepas, T-Team, yang ketinggalan 2-1,
enggan meneruskan perlawanan babak kedua atas faktor keselamatan.
T-Team mendakwa penyerang
importnya dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano
Impagliazzo dikasari oleh pihak pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik
persalinan selepas tamat separuh masa pertama. - Bernama
KOSMO ONLINE 6.2.14
No comments:
Post a Comment