EKOR sepanjang 0.4 meter ini tumbuh pada belakang Chandre Oraon sejak
lahir.
ALIPURDAR, India - Seorang pemetik teh berusia 35 tahun di sini diekori
oleh ramai pengikut pada setiap hari kerana dia mempunyai ekor sepanjang 0.4
meter di belakang badannya.
Keganjilan pada badan lelaki berkenaan, Chandre Oraon menyebabkan mereka
memujanya sebagai dewa.
Chandre yang mempunyai ekor sejak lahir dianggap sebagai jelmaan dewa
monyet, Hanuman oleh sebahagian masyarakat Hindu.
Pada setiap hari, pengikut Hanuman dari seluruh India akan menziarahi
Chandre di rumah lelaki itu dengan harapan dapat menyentuh ekornya bagi
mendapat rahmat.
Seorang wanita, Monika Lakda berkata, dia berjalan selama semalaman untuk
menemui Chandre di kediamannya dengan harapan lelaki itu dapat menyembuhkan
anak saudaranya yang menghidap demam.
"Kami memberinya ubat tetapi tidak berhasil. Justeru saya datang
menemui Chandre untuk meminta rahmat. Bayi berkenaan sembuh tidak lama selepas
itu," katanya seperti yang dilaporkan akhbar Daily Mail.
"Kami percaya Chandre adalah jelmaan Hanuman," tambahnya.
Namun, bukan semua orang percaya ekor Chandre merupakan tanda dia adalah
dewa.
Seorang pegawai perubatan tempatan, Bhushan Chakraborty memberitahu akhbar
Indian Express bahawa di sebalik keganjilan fizikal Chandre, dia bukannya dewa
monyet.
"Lelaki itu memanjat pokok, berkelakuan seperti monyet tetapi ekornya
adalah disebabkan oleh kecacatan semasa lahir," kata Bhushan.
Keadaan fizikal lelaki itu, menurut Bushan berlaku apabila tulang
belakangnya memanjang dengan tidak sempurna. - Agensi
KOSMO ONLINE 9.2.14
No comments:
Post a Comment