TEPUNG dan telur antara bahan yang dilempar kepada bakal pengantin.
MENJADI kelaziman, individu yang ingin melangsungkan perkahwinan akan pergi
ke spa kecantikan bagi rawatan diri. Namun, amalan tersebut boleh dilupakan
penduduk Scotland.
Ini kerana badan bakal pengantin akan dikotorkan terlebih dulu sebagai
salah satu acara praperkahwinan yang merupakan tradisi masyarakat setempat.
Upacara yang dikenali sebagai blackening itu dilakukan ke atas bakal
pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan.
Ia tradisi yang dianggap kotor dan menjijikkan, namun itulah budaya yang
masih wujud dalam kelompok masyarakat di Scotland sehingga hari ini.
Upacara praperkahwinan itu memerlukan bakal pengantin dilempar dengan
pelbagai barangan untuk mengotorkan diri mereka.
Dalam tempoh seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung, pasangan
pengantin akan ditangkap secara mengejut.
DI Orkney Isles, upacara blackening dilakukan ke atas pengantin lelaki
sahaja.
Sungguhpun begitu, bakal pengantin selalunya tahu apa yang bakal berlaku
semasa mereka 'diculik'.
Bergantung kepada sesetengah negeri, upacara itu ada yang dilakukan ke atas
kedua-dua pasangan dan ada juga hanya dikenakan ke atas salah seorang
pengantin.
Misalnya, penduduk di perkampungan Balintore sekadar mengamalkan upacara
tersebut ke atas bakal pengantin perempuan, begitu juga di Aberdeenshire.
Bagaimanapun, di Orkney Isles upacara blackening itu dibuat ke atas bakal
pengantin lelaki sahaja.
Antara barangan yang digunakan dalam tradisi tersebut ialah telur, tepung,
sirap dan cecair yang boleh menyebabkan tubuh berasa melekit, kotor dan busuk.
Selepas itu, pasangan pengantin akan dibawa berarak mengelilingi kawasan
perkampungan dengan menaiki lori atau trak.
Sepanjang perjalanan itu, mereka digalakkan membuat bising sekuat yang
mungkin dengan menggunakan hon kereta, jeritan, wisel, dan sorakan.
SELEPAS badan dikotorkan, pasangan akan dibawa berarak ke kawasan sekitar
dengan iringan bunyi hon kenderaan dan sorakan.
Menyeronokkan
Bunyi bising tersebut dikatakan bagi memaklumkan kepada orang ramai bahawa
pasangan tersebut akan mendirikan rumah tangga.
Sungguhpun tradisi itu dipandang pelik oleh masyarakat luar, namun amalan
ini menjadi ritual yang menyeronokkan bagi penduduk tempatan.
Warga Scotland juga percaya bentuk 'penghinaan' dengan mengotorkan
pengantin ini merupakan simbolik bahawa mereka bersedia untuk menempuh cabaran
mendatang.
Ritual pelik ini juga menjadi kayu pengukur bagi pengantin untuk mengenal
pasti tahap kesediaan mereka untuk berumah tangga.
Malah, ada juga yang beranggapan ia sebagai ganti kepada ritual lama yang
mengetengahkan tradisi membersihkan kaki dan rambut yang dilakukan orang
dulu-dulu.
Mereka percaya pasangan bakal pengantin perlu dikotorkan sebelum mereka
melalui satu fasa baharu yang dianggap bersih menerusi perkahwinan.
Menerusi upacara ini juga, ia dapat mengeratkan lagi hubungan sesama
pasangan.
Ini kerana apabila pasangan tersebut sudah kotor, tiada siapa yang mampu
mendekati mereka kecuali mereka berdua sahaja yang akan saling berdampingan.
KOSMO ONLINE 9.2.14
No comments:
Post a Comment