2014/02/11 - 06:01:48
Kuantan: Walaupun sedar keupayaan mereka ‘dalam kocek’ Dollah Salleh,
tetapi pemain Pahang sedikit pun tidak gusar apabila bertemu Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul
Rahman, Paroi malam ini.
Kapten pasukan, Mohd Razman Roslan berkata, sekiranya Dollah yang membantu
Pahang menjuarai Piala Malaysia musim lalu tahu mengenai keupayaan pemain
Pahang, tetapi mereka juga sudah ‘masak’ dengan strategi dan percaturan
pengendali itu yang beralih arah melatih PDRM musim ini.
“Pengendali itu (Dollah) yang
sepatutnya bimbang dengan kami kerana dia tak tahu mengenai strategi jurulatih
baru kami, Ronald Smith. Ini akan menjadi kelebihan kepada kami untuk
menumpaskan skuad bimbingannya esok (malam ini),” katanya semalam.
Lebur rekod PDRM
Razman juga mengakui pemain Pahang berada dalam tahap terbaik dan semangat
tinggi selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut menumpaskan Lions XII
dalam pusingan kedua Piala FA dan membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam
saingan Liga Super, Sabtu lalu.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh mahu pemain bijak
memanfaatkan segala peluang untuk meraih kemenangan selesa sebagai bekalan
menghadapi suku akhir kedua di laman sendiri 18 Februari nanti.
“Kemenangan selesa akan mencerahkan lagi peluang Pahang ke separuh akhir
dan apa yang lebih penting saya tuntut pemain mengekalkan semangat juang tinggi
seperti diperagakan dalam dua perlawanan sebelum ini,” katanya. – Oleh Asrol
Awang
No comments:
Post a Comment