Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Polis Diraja
Malaysia (PDRM) mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas Liga Perdana selepas
membelasah Perlis 7-1 dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya
(MBPJ), semalam.
Kemenangan itu membolehkan
skuad kendalian Dollah Salleh melebarkan rekod bersih empat kemenangan liga
berturut-turut untuk mengumpul 12 mata maksimum sekali gus meletakkan mereka
selaku pasukan pilihan untuk merebut kejuaraan musim ini.
Bagaimanapun bekas jurulatih
skuad juara Piala Malaysia Pahang itu belum mahu mendabik dada walaupun memuji
persembahan dipamerkan anak buahnya.
“Sebelum ini, kita menang tapi
permainan tidak begitu menonjol.Hari ini (semalam), mereka
sudah mempamerkan persembahan yang saya harapkan selama ini.Saya berpuas hati dengan
kemenangan ini tapi tidak mahu pemain berada dalam zon selesa kerana kita masih
bersaing di awal musim.
“Perjalanan liga masih jauh dan
saya harapkan PDRM dapat mengekalkan prestasi ini untuk perlawanan akan
datang,” kata Dollah.
Dalam perlawanan itu, PDRM
membuka tirai jaringan menerusi pemain import dari Maldives, Ali Ashfaq pada
minit ke-15.
Penguasaan pasukan tuan rumah
berterusan apabila Charles Souza Chad menjaringkan gol kedua menerusi sepakan
penalti pada minit ke-49.
Ali memastikan kedudukan selesa
dengan meledak gol ketiga pada minit ke-51 diikuti jaringan Bobby Gonzales (60)
dan Khairul Izuan Abdullah (62).
Souza Chad akhirnya
melengkapkan pesta gol PDRM dengan mencipta hatrik peribadi apabila meledak gol
keenam dan ketujuh Sang Biru pada minit ke-65 dan 85.
Sementara itu, gol sagu hati
skuad Singa Utara hadir menerusi pemain import Dao Bakary pada minit ke-55.
PDRM bakal berkunjung ke
Kuantan untuk aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Pahang, Selasa ini.
SUMBER:MYMETRO ONLINE 15.2.14
No comments:
Post a Comment