Ad

Saturday, 15 February 2014

Azizul intai podium


 Foto

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Cali, Colombia menjadi pengukur terhadap kemampuan jaguh pecut negara, Azizulhasni Awang.

Menyedari bukan mudah untuk dirinya mengulangi pencapaian merangkul pingat perak acara pecut pada 2009 dan keirin 2010, Azizul bagaimanapun tetap positif untuk melakarkan sesuatu buat negara.Dia yang kini giat berlatih di pangkalan latihan negara di Melbourne bersama-sama John Beasley berkata, persiapan kali ini agak berbeza kerana fokus utama adalah temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Namun Kejohanan Dunia tetap diberi keutamaan yang dijadikan landasan buat Olahragawan Negara 2010 itu untuk memantapkan dan mempersiapkan diri sebelum beraksi di kedua-dua temasya utama itu.
“Kejohanan tahun ini semuanya amat penting. Namun saya juga mempunyai sasaran sendiri di Cali. Pertama sekali saya perlu melangkah ke final acara keirin dan selepas itu barulah saya menyusun strategi untuk menaiki podium.


“Saya harap sangat dapat menjejakkan kaki ke podium sebab sudah lama tidak berbuat demikian selepas kali terakhir 2010,” katanya.

Mengulas mengenai acara pecut Azizul berkata, dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi kerana sedar cabaran semakin sukar dengan adanya ramai pelumba berbakat.

Namun dia tidak akan menyerah kalah dan akan cuba mempamerkan kayuhan terbaik untuk mara ke peringkat tertinggi.

“Tahap persaingan sekarang sukar diduga. Cabaran yang perlu dihadapi sangat sengit. Jika dulu sesetengah negara hebat dalam acara pecut, tapi sekarang ini saya perlu berdepan dengan cabaran dari semua negara.

“Jadi saya perlu berhati-hati dan tidak boleh memandang ringan dengan semua cabaran itu,” kata Azizul.

Azizul antara wakil negara yang akan mengibarkan cabaran bersama-sama Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet di Kejohanan Dunia itu selepas Josiah Ng ditimpa kemalangan yang memaksanya berehat lama daripada menyertai pertandingan kompetitif.

SUMBER:MYMETRO ONLINE 15.2.14

No comments:

Post a Comment