Oleh Rizar Mohd Noor
Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim
(Johor DT) perlu memastikan kelibat penyerang sensasi Selangor, Paulo Rangel
(gambar) harus 'diikat' seandainya tidak ingin impian kemenangan di laman
sendiri terlepas begitu saja apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium
Larkin, malam ini.
Aksi Johor DT-Selangor
sememangnya menjadi perbualan hangat membabitkan kedua-dua penyokong dengan
rekod pertemuan kedua-dua pasukan jelas memihak kepada skuad Gergasi Merah,
namun itu mungkin cerita lama.
Yang pasti kemenangan amat
ditagih skuad Harimau Selatan bimbingan Cesar Ferrando Jiminez, bukan saja bagi
memastikan maruah tidak tercalar kerana memiliki pemain berkualiti sebaliknya
perlu bangkit memperbaiki kedudukan liga selepas hanya berada di tangga ke-10
dengan empat mata.
Malah Jiminez sendiri yakin
kemenangan 3-1 ke atas Kedah pada suku akhir pertama Piala FA, Selasa lalu
memberi semangat baru buat pemain kembali mempamerkan aksi terbaik walaupun
kemungkinan kehilangan Pablo Aimar yang belum pulih sepenuhnya daripada
kecederaan.
“Kami sudah harungi Piala FA
dan catat kemenangan. Saya mahu lupakan kemenangan itu kerana aksi menentang
Selangor amat penting untuk mencari tiga mata memandangkan kedudukan Johor DT
dalam saingan liga agak tertekan.
“Saya percayakan pemain. Mereka
mempunyai sikap positif yang mampu meningkatkan kembali prestasi permainan dan
tidak mustahil peluang catat kemenangan agak cerah, namun saya tidak mahu
terlalu selesa sebaliknya perlu berwaspada.
“Selangor ada Paulo Rangel dan
saya harus pastikan benteng pertahanan Johor DT tidak leka dan mengawasi
pergerakannya dengan rapi,” katanya.
Yang pasti pertembungan
kedua-dua pasukan itu ibarat buku dengan ruas kerana bakal mempamerkan corak
permainan pantas dan agak menarik apabila Mohd Amri Yahyah dan Mahali Jasuli
bakal diturunkan menentang pasukan lamanya, Selangor.
Namun di sebalik kerancakan
aksi kedua-dua pasukan yang bakal menghiburkan ribuan penyokong Johor DT dan
Selangor, persoalan mula timbul sama ada mutu pengadilan akan berada di tahap
memuaskan dan mampu mengadili perlawanan itu dengan cukup profesional.
Apapun persoalan pasti terletak
kepada kredibiliti dan kebijaksanaan pengadil untuk mengadili perlawanan itu
tanpa prejudis atau berat sebelah memandangkan aksi yang menarik mampu terjejas
dengan mutu pengadilan rendah.
SUMBER:MYMETRO ONLINE 15.2.14
No comments:
Post a Comment