Oleh Aziman Rosdi
Bukit Jalil: Jurulatih Datuk
Ong Kim Swee tidak meletakkan sasaran tinggi pada penyertaan pertama skuad
Harimau Muda A dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia
bermula Mac depan apabila hanya mengharapkan pasukan yang baru dibentuk itu dapat
menamatkan saingan sekurang-kurangnya di pertengahan liga.
Katanya, penyertaan skuad bawah
23 tahun itu lebih kepada program pendedahan bagi persediaan ke Sukan Asia
Incheon, Korea Selatan, September ini namun itu tidak bermakna beliau tidak
memberi penekanan kepada soal kemenangan dalam 26 perlawanan yang bakal
diharungi.
“Penyertaan Harimau Muda ke
Liga NPL adalah untuk pendedahan tapi saya tetap mahukan keputusan yang baik
dalam setiap perlawanan. Saya berharap pasukan ini boleh menamatkan saingan liga
sekurang-kurangnya di pertengahan liga dan jika mereka boleh menduduki kelompok
lima pasukan terbaik, itu satu bonus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas
menyaksikan pasukannya mengalahkan pasukan Liga FAM Kuala Lumpur 2-0 pada aksi
persahabatan semalam.
Selepas kehilangan beberapa
pemain kerana faktor umur dan penghijrahan ke pasukan lain seperti kapten Mohd
Irfan Fazail, Mohd Fadhli Shas, Izham Tarmizi Roslan dan A Thamil Arasu, Kim
Swee terpaksa mengumpul pemain baru dengan mengadakan sesi pemilihan pemain.
PEMAIN Harimau Muda A, Mohd
Ferris Danial Mat Nasir (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur pada perlawanan
persahabatan di Padang MSN, Bukit Jalil.
Sebelas pemain baru kini dalam
penilaian pengendali berusia 43 tahun itu kerana beliau hanya akan membawa 25
daripada 28 pemain dalam skuad ke Australia pada 28 Mac ini.
Harimau Muda A akan turun pada
perlawanan pertama Liga NPL pada 8 Mac ini dan akan bersaing dengan 13 pasukan
lain sehingga tamat musim pada Ogos depan.
Kim Swee mengakui masih banyak
kelemahan dalam pasukannya selepas melihat aksi anak buahnya menundukkan Kuala
Lumpur semalam.
“Pada separuh masa pertama saya
menurunkan pasukan kedua Harimau Muda A tahun lalu dan apabila saya keluarkan
mereka pada separuh masa kedua, pasukan ini gagal mengekalkan rentak permainan.
Namun ada peningkatan dari segi persefahaman pemain berbanding ketika menentang
Melaka (minggu lalu) tapi saya masih belum berpuas hati,” katanya.
SUMBER:MYMETRO ONLINE 15.2.14
No comments:
Post a Comment