Rommi Suhendra (duduk tiga dari
kiri) bercakap kepada wartawan dalam sidang akhbar mengenai isu pembangunan
sukan sepak takraw negara di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Presiden Kelab
Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia, Rommi Suhendra
Norsal berharap agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut melakukan
pengauditan terhadap Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), sama seperti
dilakukan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Rommi mendakwa pengauditan itu
perlu dilakukan kerana terdapat banyak keraguan dalam pengurusan PSM, terutama
melibatkan dana yang telah diperuntukkan kepada badan induk tersebut untuk
program pembangunan.
"Kami semua ingin tahu ke
mana dana itu pergi dan kalau mereka (PSM) kata untuk program pembangunan di
mana program pembangunan itu.
"Malah pada 2011 PSM
sendiri pernah mendapat dana daripada kerajaan sebanyak RM2 juta, kami perlu
tahu apa yang dilakukan dengan dana itu termasuk pada tahun-tahun sebelum
ini," katanya dalam sidang akhbar berhubung isu pembangunan sepak takraw
negara di sini semalam.
Dalam pada itu, Rommi turut
menggesa agar pihak pengurusan semasa PSM dirombak dan digantikan dengan
pentadbiran yang lebih berpengalaman dalam pembangunan sukan tersebut.
Malah, tekong skuad kebangsaan
era 90-an itu menegaskan sekiranya tiada sebarang perubahan dalam struktur
pengurusan PSM selepas pemilihan pada Mac ini maka dia sendiri akan meminta
campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya sendiri akan
suarakan perkara ini kepada Perdana Menteri dan membiarkan beliau untuk membuat
keputusan seterusnya.
"Dalam masa sama juga saya
akan mengumpulkan lebih banyak bukti dan laporan berkaitan pengurusan PSM untuk
diserahkan kepada Perdana Menteri," kata Rommi.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140207/su_04/Tolong-audit-PSM---Bekas-pemain#ixzz2scoqun5c
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment