Ad

Friday, 7 February 2014

Tiga rekod kejohanan pecah dalam acara olahraga

 
Raja Nursheena Raja Azhar (tengah) melepasi pagar terakhir untuk menuju ke garisan penamat dalam acara 100 meter berpagar di Universiti Malaya, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Tiga rekod kejohanan acara olahraga berjaya dipecahkan dalam temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi 2014 (SukIPT 2014) yang berlangsung di Stadium Arena Universiti Malaya di sini semalam.

Raja Nursheena Raja Azhar yang mewakili Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) berjaya meraih pingat emas dalam acara 100 meter berpagar wanita dengan mencatat rekod baharu kejohanan 14.68 saat mengatasi catatan 15.01s yang dilakukannya sebelum ini.

Pingat perak menjadi milik Ku Munirah Ku Zamri dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan masa 15.53s manakala Agnes Lecsion Philip dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperoleh gangsa dengan masa 16.75s.

"Meskipun jauh daripada pencapaian terbaik saya iaitu 13.84s tetapi saya tetap berpuas hati dan saya akan berusaha lebih kuat lagi bagi mempersiapkan diri untuk mencapai sasaran menyertai Sukan Universiti ASEAN (AUG) selepas ini," kata Raja Nursheena.

Rekod baharu acara 100 meter wanita kini menjadi milik Chiew Hui Lian dari UPM yang menamatkan persaingan dengan 12.63s, mengatasi catatan 12.74s yang dilakukan wakil UNIMAP, Norjannah Hafiszah Jamaludin pada temasya lalu.

Hui Lian melahirkan kegembiraan apabila berjaya meraih pingat emas bagi kejohanan pertama yang disertainya pada tahun ini selain memberitahu akan berusaha sebaik mungkin untuk mewakili Johor dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ini.

Tempat kedua diraih wakil Kolej Komuniti Sabah, Fathin Fapiha Mohd. Yusuf dengan masa 12.92s manakala tempat ketiga menjadi milik Lau Kah Lin dari UPM dengan masa 13.37s.

Acara 400 meter wanita turut mencipta rekod kejohanan baharu apabila pemenang pingat emas, Nurul Faizah Asma Mazlan dari UNIMAP berjaya melakukan catatan 58.20s mengatasi rekod 58.35s manakala perak menjadi milik Rosalia Parsi dari Kolej Komuniti Sabah dengan catatan 61.52s dan wakil UPM, Nurulassikin Mohd. Rashid membawa pulang gangsa dengan masa 62.10s.

Loh Chooi Fern dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) meraih emas kedua dalam temasya kali ini melalui acara 5,000 meter jalan kaki wanita dengan catatan masa 28 minit 51.69 saat menewaskan Loi Liang Joo (31:24.91s) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di tempat kedua dan Nurainaa Ayuni Ahmad (36:15.36s) dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di tempat ketiga.

Dalam acara memanah Compound individu wanita, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dari UiTM berjaya meraih pingat emas selepas memperoleh 686 mata, menewaskan wakil UPM yang juga merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Myanmar di tempat kedua, Saritha Cham Nong (677 mata) dan wakil UTM di tempat ketiga, Sazatul Nadhirah Zakaria (659).

Sementara itu, dalam aksi Recurve individu lelaki, tiga wakil UPM menyapu bersih kesemua pingat dalam acara berkenaan apabila Muhammad Fareez Rosli memenangi pingat emas dengan 637 mata manakala Arif Farhan Ibrahim Putra (620 mata) memperoleh perak dan gangsa menjadi milik Mohd. Faris Haziq Suhaimi (597 mata).

Bagi acara taekwando poomsae (seni) individu lelaki, Chew Wei Yan dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berjaya meraih pingat emas sementara wakil Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Kok Jun Ee memperoleh perak dan Too Lap Weng dari UKM mendapat gangsa.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140207/su_08/Tiga-rekod-kejohanan-pecah-dalam-acara-olahraga#ixzz2scqDUUxd © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment