Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
DOLLAH Salleh mengakui beliau
masih menunggu keputusan rasmi mengenai status sebenarnya selepas Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh terdekat.
Bekas jurulatih Pahang dan
Selangor itu memberitahu, beliau dipilih oleh FAM sebagai pengganti kepada
Datuk K. Rajagobal yang tidak disambung kontrak pada Disember lalu, telah
bersedia untuk memberikan fokus kepada tugasannya terbaharunya.
Begitupun, Dollah tidak dapat
memberikan jawapan terperinci sebagaimana beliau sendiri mengakui pening
menyaksikan situasinya biarpun telah bersedia untuk membimbing skuad
kebangsaan.
“Ikut kiri salah. Ikut kanan
pun salah. Mungkin itulah nasib saya buat masa ini.
“Saya tidak boleh berikan
jawapan lebih tepat kerana saya sendiri masih menunggu kata putus dari FAM dan
PDRM.
“FAM tengah berusaha bersama
PDRM dan FAM kena buat sesuatu kerana mereka telah menarik saya pada waktu ini.
“Ini kerana saya masih ada baki
kontrak bersama PDRM dan seperti yang saya katakan, FAM akan mencari jalan yang
terbaik untuk mencari penyelesaian positif,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
semalam.
Sabtu lalu, Dollah telah
dipilih sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya selepas FAM mempertaruhkan
kredibiliti Dollah sebagai salah seorang jurulatih tempatan yang berjaya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan,
FAM telah mengubah pendirian untuk melantik jurulatih tempat sebagai pengendali
baharu Harimau Malaya.
Pemilihan Dollah berjaya
mengetepikan calon-calon import yang turut dikatakan berminat dengan jurulatih
kebangsaan, antaranya, Gert Engels, lan John Harris (England), Hatem Souissi
(Tunisia) dan seorang lagi warga Perancis, Claude Le Roy.
Dalam perkembangan sama, Dollah
menyifatkan beliau telah bersedia untuk memberikan perhatian kepada skuad
kebangsaan dengan melepaskan skuad Sang Saka Biru yang bakal beraksi dalam
Piala Malaysia bermula 12 Ogos depan.
“Saya tidak boleh memimpin dua
pasukan dalam satu masa yang sama. Saya percaya FAM dan PDRM akan membuat satu
keputusan yang lebih baik.
“Jika saya dah mendapat
pengesahan secara rasmi, saya hanya fokus satu pasukan sahaja,” katanya.
RUJUKAN-KOSMO ONLINE 2.7.2014
No comments:
Post a Comment