Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia
(FAM) dikatakan tidak tergesa-gesa memburu mana-mana jurulatih asing bagi
mengendalikan Harimau Malaya jika gagal mendapatkan tandatangan jurulatih
kelahiran Perancis, Phillipe Troussier.
Sebaliknya, badan induk bola
sepak negara itu kekal mempercayai kredibiliti pengendali sementara Harimau
Malaya, Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan
Piala Asia 2015 berdepan Yemen bulan depan.
Sumber memberitahu Kosmo!, FAM
tidak berhasrat membuat ‘pembelian panik’ dalam masa terdekat sekiranya hasrat
mendapatkan khidmat Troussier menemui jalan buntu.
“Tiada sebarang tarikh akhir
buat mana-mana pasukan kebangsaan mendapatkan jurulatih baharu.
“Jadi, FAM tidak akan
tergesa-gesa mendapatkan jurulatih asing lain hanya semata-mata jika gagal
mendapatkan khidmat Troussier sebelum berdepan Yemen Mac nanti.
“Jika gagal mendapatkan khidmat
Troussier, tugas mengendalikan Harimau Malaya kekal digalas pengendali
sementara iaitu Kim Swee sehingga calon sebenar jurulatih dikenal pasti oleh
FAM kelak,” kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan kepada Kosmo!
semalam.
Terdahulu, FAM dikatakan tidak
lagi berminat meneruskan perbincangan dengan Troussier bagi menyandang ‘kerusi
panas’ itu.
Ia ekoran jurulatih berusia 58
tahun itu yang ditawarkan kontrak selama tiga tahun dikatakan banyak ‘songeh’
ketika mengadakan rundingan bersama FAM baru-baru ini.
Selain tidak mahu FAM
meletakkan sebarang KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) terhadap beliau, Troussier
juga dikatakan mahu kontrak tersebut ditamatkan dengan segera jika beliau tidak
berpuas hati dengan permukaan padang, prestasi pemain mahupun pasukan atau
mana-mana perkara berbangkit.
Lebih memeranjatkan, Troussier
juga menuntut FAM supaya tetap membayar gaji untuk baki kontrak biarpun beliau
sendiri yang menamatkan kontrak tersebut lebih awal.
Mengulas lanjut, sumber itu
bagaimanapun mengakui FAM tidak memiliki sebarang pelan kedua sekiranya gagal
mendapatkan khidmat Troussier bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tidak
lagi disambung kontrak pada 31 Disember tahun lalu.
“Buat masa ini, FAM hanya
mengadakan rundingan rasmi bersama Troussier biarpun ada nama-nama jurulatih
asing yang turut disebut-sebut sebelum ini.
“Namun, FAM tidak perlu
tergesa-gesa kerana masa untuk mendapatkan jurulatih berkualiti masih panjang,”
jelas sumber itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung
FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan nama jurulatih baharu Harimau Malaya
dijangka diumumkan pada pertengahan bulan ini.
Namun, Hamidin tetap bersikap
‘mengunci mulut’ apabila enggan mendedahkan identiti sebenar jurulatih
berkenaan.
Selain Troussier, jurulatih AS
Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis,
Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton juga
dikatakan berada dalam radar FAM.
KOSMO ONLINE 1.2.14
No comments:
Post a Comment