KUALA LUMPUR - Biarpun
menamatkan perlawanan dengan 10 pemain, Sarawak masih mampu melakar kejutan
besar dengan menyingkirkan pendahulu Liga Super, Selangor 1-0 pada pusingan
kedua Piala FA di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Gol tunggal Zamri Morshidi pada
minit ke-33 cukup untuk membawa skuad Bujang Senang melangkah ke suku akhir.
Sarawak terpaksa beraksi dengan
10 pemain apabila penjaga gol, Sani Anuar Kamsani, dilayangkan kad merah pada
minit ke-62 selepas menjatuhkan Mohd. Fitri Shazwan Raduwan, namun Red Giants
gagal mencari formula untuk memecah kekebalan benteng lawan yang diketuai
pemain import dari Hungary, Gabor Gyepes.
Felda United bakal menjadi
lawan Sarawak di suku akhir selepas mengalahkan Sime Darby 1-0 di Stadium
Selayang melalui jaringan tunggal Zah Rahan Krangar pada minit ke-84.
Di Alor Setar, Kedah
menceriakan 25,000 penyokong yang hadir di Stadium Darul Aman setelah
menyingkirkan Perlis 4-0. Billy Mehmet membuka tirai jaringan pada minit ke-43,
sebelum Adam Griffiths yang tidak dikawal menanduk bola hantaran lintang
Baddrol Bakhtiar di minit ke-53 .
Sepuluh minit kemudian, stadium
terus bergema dengan sorakan penyokong Helang Merah apabila Baddrol menyudahkan
hantaran Mohd. Syazwan Tajuddin menerusi rembatan dari dalam kotak penalti dan
Khairul Helmi Johari melengkapkan jaringan keempat Kedah apabila menanduk bola
sepakan sudut yang diambil oleh Baddrol.
Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang,
PDRM menepati ramalan apabila mengetepikan PBAPP FC 2-0, hasil jaringan Chad
Souza pada minit ke-65 dan tiga minit kemudian, Bobby Gonzales mengukuhkan
kedudukan dengan jaringan kedua.
Dollah Salleh yang merupakan
jurulatih PDRM bakal berdepan dengan pasukan yang dibimbingnya pada musim lalu,
Pahang di suku akhir.
PKNS berjaya menebus kekalahan
sulung Liga Super di tangan Terengganu dengan kemenangan 2-1 di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi biarpun pemain pertahanan mereka, Abdul Ghani Rahman
dilayangkan kad merah pada minit ke-54.
Patrick Wleh Ronaldinho yang
bergaya memperdayakan empat pemain pertahanan Terengganu memberikan PKNS gol
pendahuluan pada minit ke-37 tetapi dapat disamakan Ismail Faruqi pada minit
ke-47.
Akhirnya, bekas penyerang Sime
Darby, Karlo Primorac memastikan kemenangan buat The Red Ants dengan jaringan
pada minit ke-79 bagi menempah pertemuan dengan Kelantan di suku akhir.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140205/su_06/Selangor-kena-ngap#ixzz2sXR0loi9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment