Oleh SYUKRI SHAARI
sukan@utusan.com.my
IPOH - Persatuan Bola Sepak
Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan dua syarat utama kepada Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) sekiranya mahu menyunting Dollah Salleh untuk membimbing
pasukan Harimau Malaya.
Penaungnya, Datuk Seri Dr.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua syarat itu ialah pembayaran ganti rugi atau
pampasan kepada pasukan tersebut dan pelantikan seorang jurulatih daripada
sebuah pasukan negeri bagi menggantikan Dollah.
"Dollah masih mempunyai
kontrak dengan pasukan PDRM dan berdasarkan perbincangan dengan FAM,
dimaklumkan PDRM akan diberikan ganti rugi dan keduanya ialah ada seorang
jurulatih daripada sebuah pasukan negeri akan dijadikan syarat mengganti
Dollah.
"Bagaimanapun, perkara itu
masih belum diputuskan dan demi kepentingan negara, PDRM rela melepaskan Dollah
tetapi dua syarat itu perlu dipenuhi terlebih dahulu," katanya dalam
sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga Kementerian Dalam
Negeri Perak semalam.
Dollah mengetepikan dua lagi
calon jurulatih luar, Gert Engels yang merupakan bekas pengendali Mozambique
dan Wolfgang Sidka, bekas jurulatih Iraq selain jurulatih Harimau Muda A, Datuk
Ong Kim Swee untuk diberikan kepercayaan jurulatih Harimau Malaya dalam tempoh
dua tahun.
Membentuk serta menggilap
pasukan MBPJ dan Pahang menjuarai Piala Malaysia, Dollah masih segar dengan
kejayaan membawa PDRM menjuarai Liga Perdana baru-baru ini selain mara ke suku
akhir Piala FA.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid
memberitahu, beliau bimbang sekiranya syarat kedua itu tidak dapat dipenuhi
memandangkan jurulatih berkenaan sedang mengendalikan sebuah pasukan berprofil
tinggi dalam Liga Super.
"Kami takut negeri yang
diwakili jurulatih itu tidak mahu melepaskan dia dan kalau begitu susahlah kami
mahu lepaskan Dollah walaupun tawaran telah dilakukan beberapa kali,"
jelas beliau.
Ditanya jurulatih itu
membimbing pasukan negeri mana, Ahmad Zahid masih mahu merahsiakannya terlebih
dahulu sambil berkata: "Beliau merupakan seorang jurulatih pasukan negeri
yang bersaing dalam Liga Super."
Namun, desas-desus mengatakan
pemain yang dimahukan oleh Ahmad Zahid ialah Zainal Abidin Hassan yang kini
melatih Pahang.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140704/su_01/2-syarat-dapatkan-Dollah---Zahid#ixzz36RVrZJnp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment