PEMAIN Switzerland, Valon
Behrami cuba menghalang pergerakan Lionel Messi sewaktu perlawanan Piala Dunia
16 pasukan akhir di Corinthians Arena, Sao Paulo, Brazil, semalam. - REUTERS
SAO PAULO - Bintang Argentina,
Lionel Messi berkata, dia turut gugup sebelum pasukannya 'bernasib baik' mampu
menewaskan Switzerland 1-0 pada pusingan kedua Piala Dunia semalam, namun
menyeru rakan-rakan sepasukannya agar memanfaatkan peluang yang dimiliki mereka
untuk mencatat keputusan terbaik pada pertandingan itu.
Messi yang merupakan kapten,
dan tonggak Argentina akhirnya berjaya melepasi sekatan benteng Switzerland di
penghujung masa tambahan (minit ke-118) untuk melakukan hantaran kepada Angel
Di Maria yang berjaya meledakkan gol tunggal perlawanan.
Selepas tamat permainan, Messi
yang berdiri teguh dihadapan ribuan penyokong Argentina amat yakin bahawa
pasukannya itu mampu pergi jauh pada Piala Dunia kali ini.
"Sengsara, memang cukup
sengsara, inilah yang saya rasakan ketika ini, tetapi kini kami tahu yang
pasukan kami mampu memperoleh kejayaan menerusi situasi sebegini. Kami bernasib
baik, tuah menyebelahi Argentina, dan kami perlu mengambil segala peluang yang
ada untuk maju ke hadapan," katanya.
Argentina akan berdepan Belgium
di peringkat suku akhir pada Ahad ini dengan misi menjulang trofi Piala Dunia
buat kali ketiga di laman musuh ketat mereka iaitu Brazil.
"Sama seperti orang lain,
saya juga mempunyai imaginasi saya sendiri, kadangkala saya berasa gugup kerana
kami masih tidak mampu menjaringkan gol, dan sebarang kesilapan mampu membuat
kami tersingkir daripada Piala Dunia.
"Kalau boleh kami tidak
mahu berdepan dengan situasi penentuan penalti, dan ini menyemarakkan lagi
semangat untuk menang pada masa tambahan. Untuk gol yang kami jaringkan, saya
fikir mungkin saya boleh memanfaatkan peluang yang terbuka. Tetapi saya lihat
Angel berada di kanan, dan saya melakukan hantaran kepadanya, mujur dia berjaya
menjaringkan gol," kata Messi.
Bintang Barcelona itu juga
dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan untuk kali keempat berturut-turut
oleh pengundi dalam talian, menewaskan Di Maria yang menghasilkan 10 percubaan
tepat, melebihi keseluruhan percubaan tepat Switzerland dalam perlawanan
tersebut.
"Saya tidak tahu sama ada
saya berhak menerima ini (pemain terbaik perlawanan) atau tidak, tetapi apa
yang penting adalah kami berjaya layak ke peringkat suku akhir iaitu sasaran
yang kami telah letakkan sebelum ini," kata Messi. - AFP
No comments:
Post a Comment