Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Dollah Salleh
KUALA LUMPUR - Hampir seminggu,
status jurulatih baharu Harimau Malaya, Dollah Salleh masih berada dalam keadaan
samar apabila masih tiada sebarang perbincangan serius melibatkan penaung
Persatuan Bola Sepak PDRM, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, dan Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) sehingga hari ini.
Bertambah rumit, bukan sahaja
pertemuan antara Zahid Hamidi, dan pengurusan PDRM masih belum diketahui bila
akan dilakukan, namun juara Liga Perdana itu masih belum menemui pengganti
Dollah bagi mengharungi cabaran Piala Malaysia.
Situasi itu dijangka akan
merumitkan lagi drama pelantikan Dollah, dan berdasarkan apa yang diperjelaskan
oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak PDRM, Datuk Muhammad Fuad Abu
Zarin, satu jangka masa panjang mungkin diperlukan bagi mencari pengganti
bersesuaian.
Surat daripada FAM sudah
diterima oleh saya pada Isnin lalu, dan memang secara dasarnya kami akan
melepaskan Dollah demi kepentingan negara cuma kami berdepan masalah
mendapatkan pengganti dalam tempoh yang singkat.
Pada mulanya kami jangkakan
khidmat Dollah hanya akan digunakan selepas Piala Malaysia, itu tidak menjadi
satu masalah, namun rupa-rupanya dalam tempoh terdekat.
Bukan mudah mendapatkan
jurulatih setanding Dollah, siapa lagi yang kami boleh dapatkan pada masa
sekarang, dan itu yang membuatkan kami sedikit pening kepala tambahan mood
menjuarai Liga Perdana masih lagi dirasai dalam kalangan pemain serta pegawai.
Kalau boleh kami hendak
berikan saingan sengit kepada semua pasukan, dan bukan sekadar menjadi
pelengkap dalam kejohanan Piala Malaysia tambahan PDRM membawa status juara
Liga Perdana, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Ditanya bila satu perbincangan
antara Zahid, Dollah, dan FAM akan dilakukan, Muhammad Fuad berkata, perkara
itu masih belum diketahui, dan semuanya terpulang kepada budi bicara Menteri
Dalam Negeri itu untuk mengadakan pertemuan.
Kami masih belum menetapkan
tarikh tertentu untuk mengadakan perbincangan dengan Zahid Hamidi, dan saya
sendiri tidak pasti bila kami dapat mencapai kata putus dalam soal ini.
Mungkin dalam masa beberapa
hari Zahid akan beritahu namun dalam masa ini, tiada apa yang saya boleh
perkatakan, dan Dollah tidak tahu bila boleh memulakan tugasannya bersama
Harimau Malaya," katanya.
Dalam laporan Utusan Malaysia
semalam, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, tiada sebarang
perkara yang perlu dirisaukan dalam urusan pengambilan Dollah kerana semuanya
mengikut prosedur ditetapkan.
Beliau juga melahirkan perasaan
optimis hubungan baik dengan Zahid semasa menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak
Perak (PAFA) akan memudahkan lagi proses berkenaan.
Sementara itu, Dollah berharap
pihak PDRM, dan FAM mengadakan perbincangan kerana berasakan tidak sesuai dia
sendiri berjumpa Zahid untuk dilepaskan.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140703/su_01/PDRM-masih-buntu#ixzz36OoJKBnF
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment