Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega apabila hasrat mereka untuk
melantik Dollah Salleh selaku ketua jurulatih kebangsaan akhirnya tercapai
selepas mendapat lampu hijau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkara itu disahkan Setiausaha
Kehormat Persatuan Bolasepak PDRM Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin selepas kata
putus dicapai menerusi pertemuan Dollah dengan penaung persatuan itu, Datuk
Seri Dr Zahid Hamidi kelmarin.
“Dollah mengadakan pertemuan
dengan menteri (Zahid) semalam (kelmarin) dan beliau bersetuju melepaskan
Dollah demi menjalankan tugas bersama skuad kebangsaan. Bagaimanapun mengenai
baki kontrak bersama PDRM sehingga November ini, perkara itu akan diselesaikan
kemudian.
“Buat sementara ini, Dollah
masih bersama PDRM bagi mengatur persiapan menghadapi Piala Malaysia hingga
beliau melapor diri dengan skuad kebangsaan,” katanya kepada Arena Metro
semalam.
Sebelum ini pihak pengurusan
PDRM belum membuat keputusan rasmi sama ada mahu melepaskan Dollah, 50, untuk
membimbing skuad kebangsaan walaupun pengendali itu menyatakan kesediaan
menerima tawaran kontrak dua tahun oleh FAM.
Pasukan juara Liga Perdana itu
berat untuk memutuskan ikatan kontrak dengan bekas penyerang kebangsaan itu
memandangkan mereka masih memerlukan khidmatnya bagi kempen Piala Malaysia yang
bakal bermula 19 Ogos depan.
Muhammad Fuad mengakui pihaknya
belum memikirkan calon pengganti Dollah buat masa ini dan mengharapkan barisan
kejurulatihan sedia ada mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan itu.
“Kami belum mencari pengganti
kerana masih mempunyai penolong jurulatih Azman Adnan dan beberapa jurulatih
lain yang diharap boleh mengendalikan pasukan ini untuk menerusi misi kempen
Piala Malaysia,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Agung
FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Dollah belum lagi menandatangani
kontrak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya walaupun secara lisan PDRM
bersedia melepaskannya.
Dollah menjadi pilihan FAM bagi
menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu untuk
membimbing skuad kebangsaan dan ujiannya yang pertama menanti di Piala AFF pada
November ini.
Berikutan kejayaannya sebagai
jurulatih di pentas domestik termasuk memenangi tiga kejuaraan Piala Malaysia
bersama Selangor MPPJ, Selangor dan Pahang, Dollah berjaya mengetepikan calon
import dari Jerman Wolfgang Sidka dan Gert Engels.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : 2014/07/04
No comments:
Post a Comment