ARKIB : 22/09/2006
Bersama: MOHD. FARID RAVI
ABDULLAH
SOALAN
Saya telah bekerja. Dengan
kebebasan dimiliki, saya selalu pergi kafe siber untuk melayari Internet. Saya
terdorong untuk melihat laman porno akibat selalu melihatnya. Apakah langkah
terbaik untuk menghentikannya?
JAWAPAN
Hukum melihat gambar-gambar
porno adalah haram, berdosa dan tidak bersyukur kepada Allah s.w.t. terhadap
nikmat mata.
Memelihara pandangan,
penglihatan merupakan suatu yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. di dalam
al-Quran secara jelas dalam surah al-Nur yang bermaksud: Katakanlah (wahai
Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat dalam
pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (al-Nur: 30)
Ayat ini diturunkan bagi
mendidik umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. daripada melihat ke arah
wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Tegahan dalam ayat ini adalah larangan
daripada melihat ke arah perempuan yang mendedahkan aurat semata-mata. Apatah
lagi sekiranya melihat gambar-gambar porno.
Adapun kesan daripada melihat
perkara-perkara porno akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan beberapa
masalah, di antaranya ialah;
*Terangsang untuk melakukan
perbuatan buruk atau perbuatan yang terkutuk, mungkin juga akan membawa
seseorang itu untuk melakukan zina. Sebab jelas dalam ayat di atas kaitan mata
dengan kehormatan iaitu kemaluan.
Mata yang boleh melihat
merupakan kurniaan Allah s.w.t. dan kehebatan mata ini tidak ubah seperti
kamera digital melihat merakam dan menyimpannya dalam memori ingatan minda.
Akhirnya gambar-gambar porno yang dilihat akan mengganggu fikiran serta
mendesak untuk melakukan perbuatan yang terkutuk. Perkara ini juga akan
menyebabkan seseorang itu terdedah untuk melakukan jenayah sumbang mahram,
mencabul atau merogol.
Banyak lagi perkara negatif
berkemungkinan berlaku. Di antaranya;
lMerosakkan hati - hati yang
dikurniakan oleh Allah s.w.t. adalah untuk menginggatinya dengan berzikir serta
berfikir perkara-perkara yang baik untuk dirinya dan untuk kebaikan orang lain.
Para salafu soleh telah berkata: Pandangan ke arah perkara-perkara yang
ditegah adalah panahan daripada panahan syaitan (ibn Kathir, jld:3, hlm: 283).
*Hilangnya nur, cahaya kebaikan
di wajah seseorang yang suka melihat gambar-gambar porno.
*Ibadatnya juga terganggu,
mungkin tidak dapat memfokuskan diri dalam melakukan solat dan amalan-amalan
yang lain.
Kesimpulannya ialah, seseorang
yang suka melihat gambar-gambar porno dengan melayari laman web yang
menyajikannya akan berhadapan dengan gangguan emosi yang tidak stabil.
Hal ini akan menyebabkan
seseorang itu merosot kualiti hidupnya, sama ada dalam urusan agama mahupun
dalam urusan kerjaya.
2. Bila harus saya berniat
puasa pada bulan Ramadan. Saya mula keliru apabila ada yang mengatakan bahawa
mesti berniat sebelum masuk waktu solat fajar, kalau tidak puasa tidak sah, dan
puasanya pada hari tersebut dianggap puasa menghormati bulan puasa. Mohon
penjelasan daripada ustaz mengenai perkara ini.
JAWAPAN
Dalam mazhab al-Syafie telah
ditetapkan syarat puasa dengan empat perkara; beragama Islam, baligh, berakal
dan suci dari haid dan nifas. Adapun rukun ibadat ialah niat dan menahan diri
daripada makan dan minum.
Oleh itu, niat termasuk dalam
rukun. Tanpa niat puasa seseorang tidak sah. Cuma persoalannya sekarang adakah
setiap hari diwajibkan kita berniat? Sebelum itu, bilakah seseorang itu perlu
berniat? Mengikut jumhur ulama, berniat puasa boleh dilakukan pada bila-bila
masa selepas tenggelam matahari, iaitu selepas Maghrib sehingga terbit fajar,
sebelum masuk waktu solat fajar.
Hal ini boleh dilihat melalui
hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Barang siapa yang tidak berniat pada
malam hari sebelum fajar, maka tiadalah puasa baginya. (al-Tarmidzi, jld: 3,
hlm:426, Abu Daud, jld:7, hlm:122).
3. Adakah seseorang itu wajib
berniat puasa setiap hari?
JAWAPAN
Mengikut mazhab Imam al-Syafie
wajib berniat pada setiap hari. Namun Imam Ahmad berpendapat memadai bagi
seseorang itu niat sekali sahaja untuk sepanjang Ramadan. Pendapat ini juga
merupakan pendapat Imam Malik, Ishaq.
Namun pendapat pertama daripada
Imam al-Syafie adalah lebih utama (awla), ini kerana ibadat puasa adalah ibadat
yang munfasilah yang terpisah di antara satu kepada hari yang lain, ia
dipisahkan oleh berbuka puasa. Oleh itu, ulama mengira ibadat puasa adalah
amalan yang terpisah di antara hari-hari yang berikutnya.
Ini dapat dilihat apabila puasa
hari ini rosak tidak semestinya puasa esok juga rosak. Justeru niatnya juga
perlu diperbaharui setiap hari dengan niat yang berasingan. (lihat Dr. Wahbah
al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld:2 ,hlm:617-620 dan Dr. Abdul
Karim Zaidan, al-Mufassal, jld:2, hlm:44-46).
Namun ustaz mempunyai pandangan
di dalam perkara ini, iaitu menemukan pendapat Imam Ahmad dan pendapat Imam
al-Syafie. Sebagai langkah berjaga-jaga, takut ada yang terlupa niat, adalah
lebih baik kalau kita dapat berniat puasa untuk sebulan Ramadan pada malam
pertama bulan puasa, dan berniat setiap malam mengikut mazhab Imam al-Syafie.
Sekurang-kurang langkah ini
dalam mengatasi masalah kalau ada yang terlupa untuk berniat di malam hari.
Dengan demikian puasanya tetap sah di sisi Islam, kerana pendapat tersebut juga
merupakan pendapat yang muktabar.
- Sebarang soalan untuk ruangan
Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui:
e-mel ke agama@utusan.com.my
atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow
Lin,55200 Kuala Lumpur.
Faksimile: 03-9222 4967.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4rcRGmVlU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment