Ad

Sunday, 3 September 2017

Beregu wanita ke suku akhir



ARKIB : 21/09/2006

PEMAIN perseorangan negara, Lee Chong Wei membalas pukulan lawannya dari Jerman, Bjoern Joppien ketika beraksi di pusingan kedua Kejohanan Dunia di Madrid, Sepanyol, kelmarin. Chong Wei menang 21-18, 21-14. – Gambar THE STAR.

KUALA LUMPUR - Beregu wanita nombor satu negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui mengulangi pencapaian terbaik mereka apabila melayakkan diri ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Madrid, semalam.

Cabaran Malaysia di Palacio de Deportes turut diteruskan oleh tiga perseorangan lelakinya, Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim dan Kuan Beng Hong yang melangkah ke pusingan ketiga.

Jaguh perseorangan wanita, Wong Mew Choo turut cemerlang apabila mara ke pusingan ketiga buat pertama kali tetapi dijangka bertemu pemain nombor satu dunia dan juara 2003, Zhang Ning dari China.

Ketiadaan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat yang menarik diri pada saat akhir meletakkan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah sebagai pilihan terbaik Malaysia dalam beregu lelaki, dan pasangan negara itu melepasi halangan pertama dengan menewaskan Nguyen Quang Minh-Tran Thanh-Hai dari Vietnam 21-17, 21-15.

Pei Tty-Eei Hui, yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan mudah mengetepikan cabaran pasangan Poland, Augustyn-Nadiezda Kostiuczyk 21-14, 21-11 untuk melangkah ke suku akhir.

Pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Komanwel itu itu bagaimanapun bakal berdepan laluan getir apabila dijangka berdepan pasangan nombor empat dunia, Zhang Yawen-Wei Yili dari China.

Chong Wei yang turun ke gelanggang buat kali pertama selepas menerima bye di pusingan pembukaan, mudah menewaskan pemain utama Jerman, Bjoern Joppien 21-18, 21-14.

Pemain nombor satu negara itu kini akan menentang pemain sedang meningkat dari Denmark, Joachim Persson, yang mengejutkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Shon Seung-Mo dari Korea pada pusingan pertama.

‘‘Ramai yang memberitahu saya bahawa pemain pilihan pertama jarang merangkul kejuaraan dunia tetapi saya mahu membuktikan bahawa apa yang mereka katakan itu salah.

‘‘Walaupun kedudukan nombor satu dunia memberi sedikit tekanan kepada saya, namun ia boleh membantu saya menjadi bertambah baik ,’’ kata Chong Wei selepas tamat perlawanan.

Juara Seluruh England 2003, Hafiz pula menempah pertemuan dengan perseorangan utama Belanda, Dicky Palyama selepas mudah menyingkirkan Maja Tvrdy dari Slovenia 21-7, 21-13.

Pada ketika Chong Wei dan Hafiz tidak menghadapi masalah untuk melepasi cabaran masing-masing, Beng Hong pula nyaris dikejutkan oleh pemain tidak ternama Poland, Wacha Przemyslaw sebelum menang 21-16, 9-21, 21-19.

Beng Hong, yang membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia selepas menggantikan pemain veteran, Wong Choong Hann kini bakal menentang pemain nombor tiga dunia, Chen Jin dari China.

Turut cemerlang di Madrid semalam adalah dua beregu campuran, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ooi Sock Ai dan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty, yang berjaya melangkah ke pusingan ketiga.

Fairuzizuan-Sock Ai mengetepikan pilihan ke-15 dari Jerman, Ingo Kindervater-Katrin Piotrowski 21-12, 23-25, 21-14 dan dijangka menentang beregu Denmark, Thomas Laybourn-Juhl Kamilla Rytter.

Selepas terpaksa melupakan cabaran beregu lelaki berikutan penarikan diri Chan Chong Ming yang kematian bapa, Kien Keat mengalihkan sepenuh tumpuan dalam beregu campuran.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4rcOTM9rz
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment