ARKIB : 22/09/2006
Ads by Kiosked
Kisah-Al-Quran - Kisah 8
DAN ingatlah hamba-hamba Kami,
Ibrahim, Ishak dan Yaakub yang mempunyai perbuatan-perbuatan yang besar dan
ilmu-ilmu yang tinggi. Sesungguhnya Kami telah mensucikan mereka dengan
(menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan
(manusia) kepada negeri akhirat. Dan sesungguhnya mereka pada sisi Kami
benar-benar termasuk orang-orang pilihan yang paling baik. (Shaad: 45-47)
NABI Ishak dan Nabi Yaakub
adalah keturunan daripada Nabi Ibrahim. Nabi Ishak ialah anak kepada Nabi
Ibrahim bersama isterinya Sarah, manakala Nabi Yaakub pula ialah anak Nabi
Ishak. Mereka semua berasal daripada zuriat dan keturunan yang sama serta
diangkat menjadi nabi.
Hubungan antara Nabi Ibrahim,
Nabi Ishak dan Nabi Yaakub ada diterangkan di dalam beberapa ayat al-Quran
antaranya ialah: Kami sampaikan berita gembira kepadanya dengan kelahiran Ishak
dan daripada Ishak akan lahirnya Yaakub. (Huud: 71)
Kami berikan kepadanya Ishak
dan Yaakub, masing-masing kami berikan petunjuk. (al-Anam: 84)
Dalam ayat al-Quran yang lain
Allah menerangkan, Ketika Ibrahim telah menjauhkan diri mereka dan daripada apa
yang mereka sembah selain Allah, maka kami anugerahkan kepadanya Ishak dan
Yaakub. (Maryam: 49)
Allah s.w.t. menyebut dalam
al-Quran tentang ketaatan dan kekuatan mereka dalam menyampaikan kepada kaum
masing-masing.
Mereka dilahirkan dalam
masyarakat yang masih berpegang teguh kepada ajaran nenek moyang dan
penyembahan berhala.
Walaupun pelbagai dugaan dan
cabaran yang diterima, namun mereka tetap berusaha sedaya upaya untuk
membebaskan kaum masing-masing dari lembah kesesatan. Mereka semua adalah
antara orang-orang yang mulia dan sentiasa ingat akan kehidupan akhirat.
Mereka menyeru manusia menyembah
Allah. Bahkan mereka bertanggungjawab membina masjid-masjid untuk dijadikan
tempat beribadat dan menyembah Allah.
Menurut ahli sejarah, Nabi
Yaakub adalah orang yang bertanggungjawab mendirikan Masjid al-Aqsa. Hal ini
ada dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh
Bukhari dan Muslim daripada Abu Zhar. Beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,
Wahai Rasulullah masjid apa yang pertama sekali dibangunkan?
Baginda menjawab, Masjidil
Haram.
Beliau bertanya lagi, Kemudian
masjid apa?
Baginda menjawab, Masjid Aqsa.
Beliau melanjutkan, Berapa
jarak waktu di antara kedua-duanya?
Baginda lalu menjawab, 40
tahun.
Oleh sebab itulah perjuangan
mereka adalah semata-mata untuk membimbing manusia ke arah kebenaran dan membina
kehidupan yang diredhai Allah.
Allah s.w.t. menyebut dalam
al-Quran beberapa kali tentang Nabi Ishak dan Yaakub supaya ia menjadi ingatan
dan ikutan buat Nabi Muhammad s.a.w. Ini dapat diikuti melalui kisah
perjuangannya dalam menghadapi tentangan dan halangan daripada kaum
masing-masing.
Paparan kisah mereka bukan
diadakan begitu sahaja tetapi mempunyai maksud dan tujuan yang tertentu.
Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Mengetahui setiap apa yang dilakukan-Nya.
* Petikan daripada Untaian 366
kisah daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-61379220/ 8396/7834 atau
Emel: edusb@streamyx.com
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4rcSkZFLe
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment