ARKIB : 22/09/2006
KUALA LUMPUR Pasangan Koo
Kien Keat-Wong Pei Tty melakar kejutan terbesar pada Kejohanan Dunia di Madrid
semalam apabila menundukkan penyandang juara dan beregu nombor satu dunia, Nova
Widianto-Lilyana Natsir dari Indonesia untuk mara ke suku akhir beregu
campuran.
Ketiadaan Chan Chong Ming, yang
terpaksa pulang awal kerana kematian bapa memberi semangat tambahan buat pemain
negara, terutama Kien Keat untuk mencatat kemenangan 21-18, 18-21, 22-20 ke
atas pasangan utama Indonesia itu.
Turut meneruskan cabaran negara
adalah dua perseorangan utamanya, pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei dan
Muhammad Hafiz Hashim.
Selepas mengejutkan pemenang
pingat perak Olimpik Athens, Shon Seung-mo dari Korea di pusingan pertama,
hasrat pemain Denmark, Joachim Persson untuk meneruskan kejutan tidak
kesampaian apabila tewas 16-21, 12-21 kepada Chong Wei.
Kemenangan Chong Wei itu bakal
menemukannya dengan pemenang di antara pemain nombor sembilan dunia, Bao
Chunlai dari China atau perseorangan Indonesia, Sony Dwi Kuncoro.
Chong Wei mempunyai rekod
cemerlang ke atas Chunlai dengan memenangi kesemua enam pertemuan kedua-dua
pemain, termasuk yang terbaru di Terbuka Macau, Julai lalu.
Hafiz pula dikejutkan dengan
kekalahan pada set pertama sebelum mengalahkan Dicky Palyama dari Belanda
16-21, 21-19, 21-13.
Juara Seluruh England 2003 itu
bagaimanapun bakal berdepan laluan perit di suku akhir hari ini apabila
dijangka menentang bekas pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China.
Hafiz, pilihan kesembilan tidak
pernah mengalahkan Lin Dan dalam semua lima pertemuan mereka termasuk yang
terakhir di Terbuka Macau.
Sementara itu, hasrat pasangan
Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ooi Sock Ai untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir
tidak kesampaian apabila tersingkir pada pusingan ketiga.
Pasangan negara itu terpaksa
akur dengan kekalahan 11-21, 13-21 kepada beregu berpengalaman Denmark, Thomas
Laybourn- Kamilla Juhl Rytter.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4rcUjrpY8
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment