ARKIB : 06/10/2006
Kisah Al-Quran - Siri 10
SESUNGGUHNYA Kami telah
memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh
dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu kepada Ibrahim,
Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman.
Dan Kami berikan Zabur kepada Daud. (an-Nisaa: 163)
NABI Yaakub adalah anak Nabi
Ishak bin Ibrahim. Ibunya bernama Rifqah binti Azar. Nabi Yaakub mempunyai
saudara kembar bernama Aishu. Perwatakan Aishu sangat berbeza dengan Nabi
Yaakub. Dia mempunyai sifat yang tidak baik. Dia sangat memusuhi Nabi Yaakub
malah mempunyai hasad dengki terhadapnya.
Nabi Yaakub yang sememangnya
berhati mulia selalu dimanjakan oleh ibunya. Baginda menjadi anak yang paling
disayangi. Ini membuatnya Aishu berasa cemburu. Hubungan mereka berdua semakin
renggang dan bertambah buruk. Tambahan pula Nabi Yaakub sentiasa diberkati dan
didoakan oleh ayahnya, Nabi Ishak.
Melihat keadaan yang bertambah
tegang dan sentiasa dimusuhi oleh Aishu, Nabi Yaakub pun datang mengadu kepada
ayahnya.
Wahai ayahku, tolonglah
beritahuku bagaimana untuk menghadapi Aishu. Dia sangat membenciku dan
berdendam denganku. Dia juga selalu menyindirku dengan kata-kata yang
menyakitkan hati, kata Yaakub.
`Aishu marah kerana ayah
selalu mendoakan aku supaya menjadi orang yang soleh, mudah mendapat rezeki dan
sentiasa hidup bahagia, sambung Yaakub lagi.
Nabi Ishak yang sudah tua pada
masa itu mula berasa bimbang. Baginda bimbang hubungan kedua-dua anak kembarnya
itu menjadi semakin teruk selepas kematiannya kelak. Baginda sudah masak benar
perangai Aishu.
Lalu Nabi Ishak berkata kepada
Nabi Yaakub, Wahai anakku, ayah sudah tua dan tidak mampu lagi untuk
mempertahankan kamu. Bila-bila masa sahaja ayah akan meninggal dunia.
Ayah bimbang setelah ayah
tiada, permusuhan Aishu dengan kamu akan makin buruk dengan bantuan
saudara-saudara iparnya yang berpengaruh. Jadi lebih baik kamu berhijrah ke
rumah pakcik kamu di Fadan Araam di Iraq. Kamu berkahwinlah dengan anak
perempuannya. Semoga Allah memberkati perjalananmu.
Nabi Yaakub dengan berat hati
bersetuju dengan nasihat ayahnya itu. Hanya itu sahaja caranya untuk dia
mengelakkan daripada dimusuhi oleh Aishu. Selepas itu Nabi Yaakub bertolak ke
Fadan Araam. Sesampainya di sana, baginda dibawa berjumpa dengan pakciknya
yang bernama Laban. Kedatangan Nabi Yaakub disambut dengan penuh gembira.
Nabi Yaakub menyampaikan
pesanan ayahnya supaya dia berkahwin dengan anak pakciknya itu. Pakciknya
bersetuju tetapi dengan satu syarat. Sebagai mas kahwin, Nabi Yaakub harus
berkerja dengan pakciknya selama tujuh tahun. Nabi Yaakub tidak membantah. Pada
tujuh tahun yang pertama, baginda berkahwin dengan Laiya, anak sulung pakciknya
itu.
Seterusnya, selepas tujuh tahun
kedua, baginda berkahwin pula dengan anak kedua pakciknya bernama Rahil. Pada
waktu itu, hukum beristerikan dua wanita bersaudara masih belum diharamkan
dalam agama. Selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. barulah ia diharamkan.
Hasil perkahwinan Nabi Yaakub
dengan dua orang adik-beradik itu, baginda dikurniakan 12 anak. Dua orang di
antaranya ialah Nabi Yusuf dan Bunyamin.
lPetikan daripada Untaian 366
kisah daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-61379220/ 8396/7834 atau
e-mel: edusb@streamyx.com
PENGAJARAN
*Dalam sesebuah keluarga,
setiap anggotanya perlulah mengamalkan sikap sayang-menyayangi dan bertolak
ansur di antara satu sama lain.
*Elakkan diri daripada perasaan
hasad dengki kerana ia akan memutuskan ikatan persaudaraan.
PERBENDAHARAAN KATA
*perwatakan: keseluruhan sifat
seseorang
*hasad dengki: cemburu
*renggang: tidak berapa rapat
*berpengaruh: berkuasa
sumberArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4rf1yb4NU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment