ARKIB : 05/10/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Bekas penyerang
negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengidam untuk mengharungi semula persaingan
bola sepak Liga Malaysia, Disember ini selepas sekian lama tersisih kerana
kecederaan lutut.
Pemain kelahiran Kedah itu
semakin beransur pulih untuk kembali ke gelanggang sekali gus memburu tempat
dalam kesebelasan utama sebuah pasukan Liga Super bagi musim 2006-2007.
Akmal yang dua bulan lalu
dikurniakan cahaya mata kedua, Aqasha Riss, juga meletakkan sasaran kembali ke
skuad kebangsaan dalam Kejohanan AFF dan pusingan akhir Piala Asia pada Januari
dan Julai tahun depan.
Saya mungkin menyertai sebuah
pasukan Liga Super di zon tengah Semenanjung.
Sebagai majikan baru saya,
biarlah mereka yang membuat pengumumannya, katanya kepada Utusan Malaysia,
semalam.
Akmal Rizal dilepaskan secara
rasmi oleh Kedah, Julai lalu.
Perak, Telekom Melaka, Melaka
dan Negeri Sembilan adalah antara 13 pasukan Liga Super musim depan yang
menduduki zon tengah.
Bekas juara tiga piala 2005,
Selangor dianggap telah terkecuali kerana telah mengekalkan tonggak senior
musim lalu dan cuma mahu menggunakan khidmat majoriti pemain bawah 23 tahun.
Saya semakin pulih sejak
menjalani latihan fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil. Tiga
minggu lagi, saya yakin boleh kembali ke padang, ujarnya.
Sebelum itu, dia menjalani
pembedahan ligamen silang depan (ACL) lutut kiri dan terpaksa berehat panjang
daripada persaingan Liga Perdana yang kali terakhir disertainya ketika
menentang Kelantan, April lalu.
Akmal Rizal yang pernah bermain
dengan kelab Perancis, FC Haguenau, turut menyangkal laporan yang mendakwanya
menuntut gaji lebih RM30,000 untuk mencuba nasib dengan sebuah pasukan di
selatan Semenanjung, baru-baru ini.
Walaupun tidak menjelaskan
siapa orangnya, ramai rakan bertanyakan saya tentang itu sedangkan saya tidak
pernah berunding pun dengan pasukan tersebut, katanya.
Katanya, tempat dalam
kesebelasan utama dalam pasukan Liga Super juga perlu direbut bagi menguatkan
peluangnya dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan oleh ketua jurulatih,
Norizan Bakar.
Nama Akmal Rizal awal-awal lagi
tiada dalam perancangan Norizan bagi menghadapi Sukan Asia ke-15 di Doha,
Disember ini yang membenarkan penggunaan tiga pemain melebihi usia 23 tahun.
Skuad negara kini memiliki
Fadzli Saari, Norhafiz Zamani Misbah, Hardi Jaafar dan Rudie Ramli yang baru
selesai mengadakan kem latihan dan persahabatan dengan menentang Olimpik
Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain di Dubai dan Manama.
Jelas Akmal Rizal: Saya masih
berminat mewakili negara. Kalau boleh untuk bermain dalam Kejohanan Asia
Tenggara (di Singapura dan Thailand), Januari tahun depan dan Piala Asia (Julai
2007).
Sudah lama saya tidak
menyarung jersi Malaysia. Kali terakhir pun ketika pasukan yang dilatih
Bertalan Bicskei tewas 0-1 kepada China dalam Kelayakan Piala Dunia di Pulau
Pinang (8 September 2004).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4rexTEtck
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment