ARKIB : 04/10/2006
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Guangzhou, China
menjadi medan terakhir buat skuad kebangsaan bawah 20 tahun membuat persiapan
terakhir menghadapi pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Belia Asia di Kolkata
India dari 29 Oktober hingga 12 November ini.
Tempoh seminggu menjalani
latihan di Guangzhou sambil mengharungi dua perlawanan persahabatan itu buat
melengkapkan skuad kebangsaan paling ampuh untuk mengulangi pencapaian muncul
naib juara pada 1959.
Skuad seramai 22 pemain yang
akan berlepas ke Guangzhou pada 14 Oktober ini mempunyai misi penting buat
melengkapkan diri dari aspek mental dan fizikal untuk mengharungi cabaran getir
di Kolkata nanti.
Lawan skuad kebangsaan
membabitkan pertemuan dengan Vietnam, Arab Saudi dan Iraq dalam Kumpulan D yang
dianggap saingan paling getir untuk mencari dua tempat ke suku akhir.
Walaupun tersentak kehilangan
dua tonggak utama, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak dan Mohd. Fauzi Ariffin, namun
skuad bimbingan K. Rajagopal (gambar) yang menduduki ranking keenam Asia tetap
bersemangat untuk melakukan kejutan.
Rajagopal berkata, sesi latihan
di Guangzhou lebih kepada latihan persiapan terakhir buat pemain.
Tempoh seminggu akan saya
gunakan untuk memantapkan pasukan mewujudkan persefahaman selain menyemarakkan
semangat juang mereka.
Selain itu, kita akan
mengharungi dua perlawanan persahabatan untuk melihat tahap ketahanan fizikal
di kalangan pemain, kata Rajagopal ketika dihubungi semalam.
Rajagopal berkata, pada
dasarnya skuad bimbingannya telah cukup bersedia mengharungi saingan sebenar di
India.
Ujarnya, sesi latihan di
Guangzhou akan dapat menilai keupayaan sebenar pemain dari segi fizikal dan
mental.
Menurut beliau, sesi latihan
sepanjang bulan puasa berjalan seperti biasa sejak pemain mula berkumpul Isnin
lepas.
Rajagopal tersentak dengan sesi
latihan awal ini apabila mendapat berita kecederaan yang melanda Fardherin
Abdul Kadir masih belum pulih sepenuhnya.
Walaupun kecederaannya tidak
begitu serius tetapi saya bimbang jika ia berlarutan. Kini segalanya bergantung
pada sesi latihan di sini sebelum berlepas ke Guangzhou, ujarnya.
Anak didik Rajagopal akan
berada di Guangzhou sehingga 20 Oktober ini dan empat hari selepas itu mereka
akan berlepas ke Kolkata India.
Skuad kebangsaan terpaksa
melupakan kemeriahan menyambut satu Syawal bersama keluarga kerana mempunyai
misi khas dan dijadualkan berlepas ke India pada 24 Oktober ini.
Malaysia akan membuka kempen
pertama menentang Vietnam pada 30 Oktober ini diikuti pertemuan getir menentang
Arab Saudi (1 November ini) dan perlawanan terakhir dengan Iraq (3 November
ini).
Kesemua aksi Malaysia di
Stadium Sree Kanteerava Bangllore, India.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4reuu7YwV
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment