ARKIB : 26/09/2006
DR. ABDUL HALIM MAT DIAH.
ISLAM, sesuai dengan namanya,
merupakan agama yang sejahtera. Ia bukanlah agama yang mengajak umatnya
melakukan keganasan walaupun berjihad memang dituntut oleh agama.
Tuntutan berjihad ini
dijelaskan dalam firman Allah, Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada
Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah di
jalan-Nya supaya kamu beroleh kejayaan. (Al-Maidah: 35)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN
dan jurufoto ASWAD YAHAYA menemu bual pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun
Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Abdul Halim Mat
Diah bagi mengupas persoalan jihad.
Apakah maksud jihad menurut
pandangan Islam?
DR. ABDUL HALIM: Menurut Islam,
jihad adalah memperjuangkan Islam secara bersungguh-sungguh dengan cara damai.
Kebenaran mengangkat senjata atau berperang hanya apabila umat Islam diganggu
atau diperangi oleh golongan bukan Islam. Ini bermakna kebenaran berperang
adalah bagi mempertahankan diri.
Menurut ulama sejarah,
peperangan dalam Islam berlaku dalam rangka perdamaian sebab golongan kafir
musyrikin tidak mengenali erti damai sebelum berperang.
Perdamaian dengan Israel tidak
akan berlaku kalau bukan kerana serangan mengejut pihak Arab ke atas benteng
terkuat Yahudi di Benteng Barlev, Semenanjung Sinai pada 10 Oktober 1973.
Konflik itu seterusnya membawa kepada Perjanjian Oslo pada 1993 yang ditandatangani
di Kem David, Amerika Syarikat (AS).
Jihad pada umumnya bermaksud
melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Ini termasuk dalam menuntut ilmu
dan dari segi ekonomi seperti membantu membangunkan umat. Contohnya, menolong
orang yang susah.
Bagaimanakah penyebaran Islam
dilakukan pada zaman Rasulullah dan para sahabat?
Islam diturunkan oleh Allah
sebagai rahmat kepada sekalian alam. Justeru, kita diperintah menyebarkan agama
suci ini kepada seluruh umat melalui cara dakwah.
Pada awal kedatangan Islam di
Mekah, umat Islam masih lemah dan berada di bawah kekuasaan pemerintah yang
bersifat primitif atau ganas. Islam pada ketika itu disebarkan secara
sembunyi-sembunyi. Selepas tiga tahun, barulah kegiatan dakwahnya dijalankan
secara terang-terangan.
Keadaan ini membawa kepada
penentangan yang keras terhadap Rasulullah dan para sahabat termasuklah
pemulauan oleh kaum Quraisy serta usaha membunuh Nabi tetapi Allah
menyelamatkan baginda.
Inilah juga antara sebab yang
mendorong baginda berhijrah ke Madinah selepas menerima wahyu Allah.
Pada prinsipnya, penyebaran
Islam adalah secara damai tetapi kadang-kadang berlaku juga peperangan. Cuma
tujuannya bukan memerangi orang lain tetapi untuk mempertahankan hak umat
Islam.
Baru-baru ini Pope Benedict XVI
menimbulkan kemarahan umat Islam akibat ucapannya yang mengecam Nabi Muhammad
s.a.w. termasuk mengaitkan penyebaran Islam melalui pedang. Adakah terdapat
muslihat di sebalik dakwaan tersebut?
Saya berpendapat Pope mempunyai
motif provokasi agar umat Islam melatah. Apabila melatah dengan melakukan
kekerasan, misalnya merosakkan gereja, ia menjadi alasan untuk mereka melibas
umat Islam. Ini kerana kekuasaan dunia berada pada tangan mereka di mana
satu-satunya kuasa besar yang boleh mengatasi kuasa lain ialah AS. Mereka ini
sedang memburu umat Islam di seluruh dunia atas dakwaan melakukan keganasan.
Pendapat Pope itu pastinya
tidak benar. Orang Arab Quraisy memeluk Islam kerana terpikat melihat keindahan
agama tersebut yang tidak ada tolok bandingnya. Malah, ada antara mereka yang
mempersoalkan mengapa mahu memusuhi Muhammad sedangkan Islam mengajar hidup
bersaudara, jangan bunuh-membunuh sebagaimana yang menjadi amalan masyarakat
itu, jangan menipu dan jangan mengkhianati jiran tetangga.
Apakah kaedah Islam dalam hal
peperangan terhadap golongan kafir?
Islam menetapkan peraturan
tertentu termasuk dalam bab perang, antaranya jangan membunuh wanita,
kanak-kanak, orang tua dan orang awam yang tidak terlibat dalam perang.
Saidina Umar al-Khattab,
misalnya, berpesan kepada bala tentera Islam yang memasuki Palestin supaya
mematuhi perintah Allah yang disebutkan di atas. Ditambah dengan arahan jangan
merosakkan gereja.
Hasilnya, di mana sahaja
daerah, negeri atau negara yang dipimpin oleh Islam tidak wujud penindasan ke
atas penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing.
Ini berlawanan dengan serangan
golongan kafir Moghul ke atas Baghdad pada 1492. Mereka menghancurkan tamadun
dari segi binaan dan juga buku-buku sehingga diberitakan Sungai Furat berwarna
kebiru-biruan akibat tinta yang keluar selepas ia dibakar dan dibuang ke sungai
tersebut.
Malah, mereka turut menjadikan
masjid sebagai kandang kuda. Namun, akhirnya mereka ini memeluk Islam dan ada
antara keturunan tersebut yang menjadi penguasa seperti Raja Moghul yang
membina Taj Mahal. Tinggalan pemerintah Islam Moghul menjadi tarikan pelancong
sehingga kini.
Pada masa yang sama Islam
menegaskan jika musuh cenderung untuk berdamai, maka hendaklah kita berbuat
demikian. Ini bertepatan dengan firman Allah, Dan jika mereka cenderung kepada
perdamaian, maka cenderunglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah.
Sesungguhnya Dialah yang maha mendengar lagi maha mengetahui. (Al-Anfaal: 61)
Adakah kemungkinan usaha-usaha
memburukkan Islam ini dibuat kerana ada pihak bimbang melihat Islam semakin
berkembang sekarang?
Menurut kajian, agama Islam
ialah pesaing kuat kepada Kristian di Eropah dan AS. Kepesatan penyebaran Islam
membawa kepada ramai penduduk Eropah memeluk Islam akhir-akhir ini. Malah
kajian di AS mendapati penduduk Islam adalah lebih ramai berbanding orang
Yahudi.
Pada masa yang sama, kedudukan
umat Islam dari segi akademik, ekonomi dan kemajuan sains dan teknologi kini
semakin mapan. Malah, ada pihak mendakwa kemajuan sains di AS adalah hasil
sumbangan orang Islam di sana.
Jadi, ada rasa cemburu Kristian
dan Barat bahawa mungkin suatu hari kelak Islam akan mengatasi Kristian di
Eropah.
Apakah tindakan yang perlu
dilakukan untuk mengatasi tohmahan-tohmahan golongan terbabit terhadap Islam?
Pertama, umat Islam mesti
menunjukkan bahawa kita ialah umat yang cintakan kedamaian dan berusaha
menjauhi tindakan yang boleh ditafsir sebagai keganasan. Namun, perlu juga
diingat bahawa keganasan itu ialah senjata orang yang ditindas.
Mereka tidak mungkin dapat
melawan tentera musuh secara bersemuka disebabkan ketidakseimbangan dari segi
kelengkapan ketenteraan dan sebagainya. Sebab itu, mereka menyerang secara
tersembunyi.
Kita juga perlu membuat kajian
punca berlakunya keganasan dan adakah benar ia dilakukan oleh umat Islam. Atau
ia dilakukan oleh mereka yang ingin menjatuhkan Islam atau ejen-ejen pihak
tertentu bagi mencari alasan menghancurkan Islam. Ini ditegaskan dalam firman
Allah, Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu
mengikuti agama mereka. (Al-Baqarah: 120)
Orang Kristian termasuk Pope
sebagai pemimpin tertinggi katolik perlu mempelajari Islam melalui al-Quran dan
hadis. Ia perlu menjadi metod dalam mengenali Islam supaya perselisihan antara
umat dapat dikurangkan. Adalah penting Pope mengenali agama lain berdasarkan
agama itu dan bukannya sikap prejudis.
Ulama Islam juga perlu
meningkatkan kefahaman tentang Kristian supaya wujud toleransi antara penganut
pelbagai agama. Ini dijelaskan dalam al-Quran, Untukmu agamamu dan untukku
agamaku. (al-Kafirun: 6)
Perbincangan atau forum
menjelaskan Islam sebenar perlu diperhebatkan. Kalau ada pun orang Islam yang
ekstrem, ia bukan kerana ajaran agamanya begitu. Sebaliknya, ia disebabkan
mereka tidak mengenali Islam secara syumul.
Seperkara lagi yang boleh
diusahakan adalah mengadakan dialog peradaban dalam kalangan para ulama dan
cendekiawan di peringkat kelas tinggi untuk memahami antara satu sama lain.
Islam menerima kenabian Nabi
Musa dan Isa sebagaimana Yahudi dan Nasrani tetapi mereka tidak dapat menerima
hakikat Muhammad sebagai Nabi hanya kerana baginda bukan berasal daripada
keturunan mereka
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4rceUS1f6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment