ARKIB : 25/09/2006
MENURUT buku Ensiklopedia
Malaysiana, terawih bermaksud berehat, bersenang-senang, melapangkan nafas,
mengambil udara baru dan seumpamanya. Dalam erti kata yang khusus, terawih
ialah ibadat sembahyang pada bulan Ramadan.
Menurut hadis yang diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim daripada Aishah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melakukan
solat terawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan empat malam) dalam
bulan Ramadan bersama-sama para sahabat.
Pada malam kelima dan
seterusnya hingga ke akhir bulan Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di
rumah. Ini kerana Baginda bimbang para sahabat tersalah anggap dan
menjadikannya sebagai sembahyang fardu dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk
melakukannya.
Menurut hadis yang diriwayatkan
oleh Ibnu Huzaimah dan Ibnu Hibban daripada Jabir bahawa Nabi Muhammad s.a.w.
melakukan solat terawih sebanyak lapan rakaat, setelah itu diikuti solat witir.
Saidina Umar bin Al-Khatab
ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat terawih
berjemaah. Sewaktu beliau menjadi khalifah, solat terawih dilakukan sebanyak 20
rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat solat witir.
Kebiasaannya Saidina Umar
bersolat terawih selepas solat Isyak pada setiap malam bulan Ramadan.
Pada zaman ini di kebanyakan
negara umat Islam menunaikan solat terawih secara berjemaah di masjid selepas
solat Isyak.
Pengikut Mazhab Maliki bersolat
terawih sebanyak 36 rakaat pada setiap malam Ramadan dan jumlah bagi seluruh
bulan Ramadan ialah 1,080 rakaat. Mazhab Syiah pula menggalakkan dilakukan
1,000 rakaat terawih dalam tempoh sebulan Ramadan.
Di Masjid Al-Haram Mekah,
sembahyang terawih dilakukan oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya imam membaca
satu juzuk al-Quran pada setiap kali terawih dan menamatkan seluruh al-Quran
(30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadan.
Solat terawih termasuk solat
tahajjud atau shalatul lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan
membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.
Solat terawih dikategorikan
sebagai sunat muakkad yang sangat dituntut dilakukan oleh umat Islam lelaki dan
perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara sendirian atau
berjemaah.
Menurut Al Ghazali dalam buku
Rahsia-Rahsia Solat, walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian
tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal,
sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat
nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah.
Wujud kekhuatiran ada
kemungkinan ia menimbulkan riak atau sifat malas individu yang menyimpang
daripada tujuan utama untuk berkumpul dalam satu jemaah. Barangkali orang yang
berpegang pada alasan tersebut ingin berkata bahawa melakukan solat lebih baik
daripada meninggalkannya kerana malas (bila sendirian) dan lebih baik daripada
riak (solat berjemaah).
Pada umumnya masyarakat Islam
di Malaysia mendirikan solat terawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang
hanya menunaikan sekadar lapan rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk
menunaikan ibadat itu mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap
Penciptanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4rcboCr1u
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment