ARKIB : 27/09/2006
KUALA LUMPUR Skuad bola sepak
kebangsaan bawah 23 meneruskan aksi cemerlang apabila melakar kemenangan kedua
menewaskan skuad Olimpik Amiriyah Arab Bersatu (UAE) 2-1 pada perlawanan
persahabatan di Dubai, kelmarin.
Ini adalah kemenangan kedua
skuad bimbingan jurulatih Norizan Bakar yang dalam persiapan di UAE buat
menghadapi temasya Sukan Asia di Doha, Disember ini.
Dalam sesi perlawanan pertama
dalam kunjungan di UAE, skuad kebangsaan menewaskan kelab divisyen satu Al-Nasr
1-0.
Sewaktu berdepan Olimpik UAE,
skuad kebangsaan dapat mengimbangi kekuatan lawan.
Asakan tuan rumah bermula
sebaik babak berlangsung namun benteng pertahanan dikemudi oleh ketua pasukan,
Norhafiz Zamani Misbah dan kecekapan Mohd. Iqbal Suhaimi dapat menyekat gerakan
yang diatur.
Begitupun gandingan serangan
Azlan Ismail dan Rudie Ramli mampu juga menggugat benteng pertahanan UAE.
Gol awal yang dicari skuad
kebangsaan menyusul pada minit ke-32 hasil sepakan penalti Azlan.
Bermula daripada gerakan Mohd.
Hardi Jaafar membuat hantaran ke kawasan kotak penalti UAE tepat ke arah
Saramsak Kram tetapi dia dijatuhkan oleh benteng pertahanan UAE.
Pengadil perlawanan tidak
teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Azlan.
Gol awal itu menyemarakkan
semangat juang tinggi anak didik Norizan apabila mereka banyak menguasai bola
berbanding lawan.
Pada minit ke-67, Iqbal menjadi
penghalang gol penyamaan UAE apabila dia berjaya menepis keluar sepakan penalti
lawan.
Dalam pada itu Norizan turut
membuat beberapa pertukaran.
Skuad kebangsaan memperoleh gol
kedua beberapa minit perlawanan hendak ditamatkan.
Bermula daripada sepakan
penalti kedua diperoleh tetapi pemain pertahanan V. Thirumurugan gagal
melakukan sepakan menggegar jaring apabila ditampan penjaga gol UAE.
Bola tampanan itu bagaimanapun
bergoleh ke arah Azi Shahril Azmi yang terus melepaskan rembatan kencang untuk
gol kedua skuad kebangsaan.
Pemain saya bermain lebih
teratur dan kemas kali ini. Mereka menunjukkan persefahaman mantap.
Bagaimanapun masih terdapat
beberapa kekurangan ketika membuat hantaran dan sewaktu bermain di bawah
tekanan, ujar Norizan.
Selepas ini skuad kebangsaan
akan berdepan Bahrain, pasukan yang berada dalam kumpulan yang sama dengan
Malaysia di Doha
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4rchDCyqK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment