ARKIB : 20/09/2006
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD
ALBAKRI
SAYID Qutub berkata: Sesuai
dengan tujuan ini kita melihat ayat-ayat yang berikut memperingatkan kaum
Muslimin dengan nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada mereka, iaitu
nikmat dikirimkan Rasulullah kepada mereka daripada kalangan mereka sendiri
sebagai memperkenankan doa moyang mereka, Ibrahim a.s., selaku penjaga Masjid
al-Haram yang menjadi kiblat kaum Muslimin. Kemudian pada akhir ayat itu Allah menghubungkan
mereka secara langsung dengannya.
(Nikmat berkiblatkan Kaabah
yang Kami berikan kepada kamu itu) samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan
kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang
membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan
syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta
Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. Oleh
itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku),
supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan
janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku). (Al-Baqarah: 151-152)
Firman Allah, (Nikmat
berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat)
Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dalam kalangan kamu (iaitu
Muhammad). Al-Zajjaj berkata: Perkataan Kama atau dengan maksud sepertimana
tidak layak untuk menjadi jawab dengan apa yang sebelumnya dan lebih baik
digantung dengan firmannya maka ingatlah Aku. Ia diriwayatkan maknanya oleh
Ali, Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil. Ayat itu merupakan ucapan kepada musyrikin
Arab.
Firman Allah, Yang membacakan
ayat-ayat Kami kepada kamu. Maksud perkataan al-Kitab ialah al-Quran, dan
maksud al-Hikmah ialah al-Sunah. Di mana Rasul yang diutuskan dalam kalangan
kamu iaitu Muhammad dan kiblat di negeri kamu. Di mana Rasul mengajar kamu ke
arah kebenaran dan petunjuk dengan mendatangkan segala dalil dan bukti yang
menunjukkan keesaan Allah, besar kudrat-Nya dan elok penciptaan-Nya. Seterusnya
dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), yang sudah bertapak
secara meluas pada orang Arab seperti membunuh anak-anak perempuan hidup-hidup,
membunuh kanak-kanak kerana bimbang kefakiran, membunuh darah dengan sebab yang
amat remeh-temeh serta menenggelamkan akhlak dan etika yang mulia. Justeru,
Rasul datang untuk membaik pulih segala kepincangan akhlak tersebut.
Seterusnya dinyatakan tugas
Rasul iaitu: Dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat
kebijaksanaan, di mana al-Quran yang mempunyai banyak hikmah Ilahi serta rahsia
rabbani yang kerananya disifatkan sebagai petunjuk dan cahaya. Begitu juga
dengan hikmah sebagai sunah Rasul yang amali dan sirahnya sebagai terjemahan
kepada maksud al-Quran dalam semua aspek kehidupannya. Sama ada di rumah
bersama sahabat ketika perdamaian dan peperangan, musafir dan bermukim, sedikit
sebanyak semuanya sebagai tafsiran kepada umumnya al-Quran.
Dan mengajarkan kamu apa yang
belum kamu ketahui. Ini bukan kerana ilmu yang bersumberkan pemikiran dan
penelitian semata-mata, tetapi cara dan wasilahnya berdasarkan kepada makrifah
wahyu. Seterusnya firman Allah: Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan
mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan
sepertimana kata Ibn Abbas dan Ibn Jubair: Ingatlah kepada-Ku dengan
mentaati-Ku nescaya Aku ingatkan kamu dengan keampunan-Ku.
*Ketaatan
Ibrahim bin al-Sirri pula
berkata: sebagaimana Aku nikmatkan kepadamu dengan risalah maka ingatlah-Ku
dengan tauhid dan membenarkan Nabi-Ku. Al-Qurtubi berkata: Asal zikir adalah
sedar dengan hati bagi apa yang yang dizikirkan, dan dinamakan zikir dengan lidah
sebagai zikir kerana ia menunjukkan di atas zikir hati kecuali tatkala banyak
diitlaqkan zikir atas ucapan lisan jadilah ia mendahului kefahaman.
Antara makna ayat sebagaimana
yang disebut: zikir merupakan ketaatan kepada Allah, maka siapa yang tidak
mentaatinya nescaya tidak berzikir kepadanya sekalipun dia memperbanyakkan
sebutan tasbih, tahlil dan bacaan al-Quran. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh
Nabi s.a.w. yang bermaksud: Siapa yang mentaati Allah maka sesungguhnya dia
berzikir kepada Allah, sekalipun sedikit solatnya, puasanya, dan perbuatannya
yang baik. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah maka ia lupa kepada Allah.
Sekalipun ia membanyakkan solatnya, puasanya dan perbuatannya yang baik. Hadis
ini disebut oleh Abu Abdillah, Muhammad bin Khuwaiz Mandad dalam kitabnya Ahkam
al-Quran. Justeru, kata Abu Uthman al-Nahdi, sesungguhnya aku mengetahui saat
dan masa Allah menyebut dan mengingati kami. Lantas dikatakan kepadanya:
Bagaimana kamu mengetahuinya? Jawabnya: Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,
Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku)
supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan. Ini juga pendapat al-Suddi dan
lainnya. Ditanya kepada Abu Uthman: Kami zikir kepada Allah tetapi tidak
merasai kemanisan pada hati kami? Jawabnya: Pujilah kepada Allah yang menghiasi
anggota untuk mentaatinya. Zu al-Nun al-Misri berkata: Siapa yang zikrullah
atas hakikatnya nescaya lupa pada sekalian yang lain dan Allah memeliharanya
daripada sekelian yang lain serta digantikannya daripada sekelian yang lain.
Muaz bin Jabal pernah berkata:
Tiada amalan anak Adam yang lebih selamat untuknya daripada azab Allah s.w.t.
lebih daripada zikrullah. Cukuplah disebutkan di sini sebuah hadis sebagaimana
riwayat Ibn Majah daripada Abdullah bin Busur bahawa seorang Arab Badwi
bertanya kepada Rasulullah seraya berkata: Sesungguhnya syariat Islam amat
banyak, maka beritakan kepadaku daripadanya dengan sesuatu yang aku
beristiqamah dengannya. Lantas sabda Nabi s.a.w.: Sentiasalah lidahmu basah daripada
zikrullah.
Dan bersyukurlah kamu kepada-Ku
dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku). Syukur dengan maksud amalan, pujian
dengan lisan, hati dan diterjemahkan dengan perbuatan mentaati kepada Allah
serta larangan yang keras daripada mengkufuri nikmat Allah. Al-Syaukani
berkata: Syukur ialah makrifah ihsan dan berbicara dengannya. Asalnya pada
bahasa ialah mensucikannya.
Iktibar dan pengajaran ayat
Wazifah (jawatan) Rasulullah
s.a.w. ialah membaca ayat-ayat Allah, mensucikan manusia, mengajar al-Kitab dan
hikmah apa yang mereka tidak tahu.
Zikir kepada Allah merupakan
ibadat yang penting dan lambang Allah mengingati seseorang dengan seseorang
mengingati Allah.
Syeikh al-Maghari berkata:
Sekiranya umat Islam dapat melaksanakan arahan-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya maka layaklah mereka mendapat penambahan daripada Allah.
Sebaliknya jika mereka mengkufuri nescaya balasan Allah amatlah pedih.
- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
ialah penulis tamu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4rbbgANF0
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment