Ad

Sunday, 3 September 2017

Nicol hanya selangkah lagi bergelar juara

ARKIB : 19/09/2006
Ads by Kiosked
Nicol hanya selangkah lagi bergelar juara
 
.NICOL Ann David (kanan) sekadar memerhatikan Natalie Grinham dari Australia membuat pukulan pada separuh akhir Skuasy Terbuka Britain di Pusat Sukan Universiti Nottingham. Nicol menang 9-3, 9-3, 9-5.

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol David akan menentang Rachael Grinham untuk menentukan juara wanita pada kejohanan Terbuka Britain selepas masing-masing mara ke perlawanan akhir di Pusat Sukan Universiti Nottingham, kelmarin.

Nicol yang juga juara bertahan, menundukkan Natalie Grinham dari Australia 9-3, 9-3, 9-5 dalam tempoh 57 minit pada separuh akhir sementara Rachael, kakak lawan, membenam pemain Mesir, Engy Kheirallah 9-7, 9-0, 9-2.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu semakin hampir untuk memburu gelaran keempat tahun ini sejak Julai lalu selepas menggondol Cabaran Qatar Airways di Hyderabad, Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur dan Terbuka Pulau Pinang.

Namun Nicol masih menghadapi laluan getir kerana Rachael pasti mengidam pembalasan kekalahan adiknya kepada pemain negara, kelmarin dan perlawanan akhir Terbuka Britain, tahun lalu.

Nicol memerlukan 14 minit untuk menamatkan set pertama tetapi dikejar lawan satu ketika pada kedudukan 4-1 dan 5-3 dalam perlawanan yang menarik kerana diselang-selikan dengan rali, pertukaran rentak dan aneka pukulan.

Set ketiga menyaksikan pemain Malaysia yang melepaskan kekangan 3-3, menambah empat mata sebelum tersekat sementara dengan kebangkitan pemenang tiga pingat emas Sukan Komanwel itu.

Selama 10 minit, Nicol masih gagal mara dari kedudukan 7-4 dan hanya mampu menamatkan tentangan Natalie dengan menggunakan satu pukulan voli yang menyilang gelanggang setelah memegang mata penamat kali kedua.

‘‘Cukup mencabar untuk mengekalkan permainan seperti dua set pertama kerana Natalie sentiasa mengasak dan bekerja keras. Saya terpaksa menggesa diri untuk mengambil setiap pukulannya.

‘‘Saya cuba tidak memberikannya ruang dan saya tahu, saya pernah kalah kepadanya tetapi saya tidak memikirkannya ketika itu langsung. Saya lebih fokus kali ini,’’ kata Olahragawati Negara 2005 ini.

Nicol mengakui, beberapa taktik baru yang dicuba ketika latihan telah digunakannya untuk menjinakkan lawan kerana semua perlawanan di kalangan enam atau lapan pemain teratas amat sengit sejak kebelakangan ini.

Kata Natalie: ‘‘Nicol lebih handal kali ini. Sungguh mengecewakan setelah saya bermain habis-habisan tetapi saya akui, ada beberapa pukulan yang mungkin mampu mengubah keputusan, tidak menjadi.’’

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4rbDPcLJv
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment