Ad

Sunday, 3 September 2017

Cemerlang diawal saingan


 

ARKIB : 19/09/2006
PASANGAN Malaysia, Ooi Sock Ai (belakang) dan Mooi Hing Yau ketika beraksi menumpaskan gandingan Scotland, Imogen Bankier dan Emma Mason pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Madrid, semalam.

KUALA LUMPUR – Pemain wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo mengetuai langkah cemerlang Malaysia pada hari pertama Kejohanan Badminton Dunia apabila melepasi pusingan awal di Madrid, semalam.

Mew Choo, pilihan ke-13 kejohanan bagaimanapun dikejutkan dengan kekalahan set pertama sebelum bangkit menundukkan Chien Yu-Chin dari Taiwan 18-21, 22-20, 21-10.

Menanti Mew Choo, yang mara pusingan ketiga pada kejohanan di Anaheim, Amerika Syarikat tahun lalu pada pusingan kedua hari ini adalah pemain Indonesia, Fransisca Ratnasari.

Cabaran Malaysia pada hari pertama kejohanan turut diteruskan dua beregu wanita, Fong Chew Yen-See Phui Leng dan Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau serta beregu campuran, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty.

Hasrat Lim Pek Siah-Chor Hooi Yee untuk mengulangi kejayaan layak ke pusingan ketiga pada kejohanan tahun lalu tidak kesampaian apabila tumpas 17-21, 21-16, 17-21 kepada Duang-Anong Arunkesorn-Kunchala dari Thailand Vorawichitchaikul pada pusingan pertama beregu wanita.

Chew Yen-Phui Leng menempah pertemuan dengan pilihan kesembilan, Kumiko Ogura-Reiko Shiota dari Jepun selepas mudah mengetepikan

Malgorzata Kurdelska-Paulina Matusewicz dari Poland 21-15, 21-14.

Sock Ai-Hing Yau pula menyingkirkan pasangan Scotland, Imogen Bankier- Emma Mason 21-16, 21-18 untuk menentang Sabrina Jaquet-Corinne Joerg dari Switzerland.

Dalam beregu campuran, gandingan Kien Keat-Pei Tty berjaya mengetepikan Kunchala Vorawichitchaiku-Songpol Anukritayawan dari Thailand 21-23, 21-17, 21-11 untuk menempah pertemuan dengan pasangan Indonesia, Hendra Wijaya-Fan Frances Liu.

Sementara itu juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim akan memulakan kempennya dengan menentang Scott Evans dari Ireland hari ini.

Beregu wanita nombor satu negara, Pei Tty-Chin Eei Hui juga akan memulakan cabarannya hari ini, manakala pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei serta tiga beregu lelaki Malaysia hanya akan turun ke gelanggang esok.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4rbAV9wdq© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment