Ad

Friday, 16 July 2021

Manaf kini tauke durian

 Suraya Roslan dan Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



MANAF ketika beraksi bersama Marcerra.

Kuala Lumpur: Serik menjadi mangsa beberapa kelab Liga Malaysia apabila tidak menerima bayaran gaji hingga mencecah puluhan ribu ringgit mendorong bekas pemain kebangsaan, Abdul Manaf Mamat, 34, meneruskan kelangsungan hidup dengan menjual durian.

Bukannya merajuk, namun bekas pemain Marcerra Kuantan FA dan Batu Dua FC itu mendedahkan sehingga kini tidak menerima tunggakan gaji daripada kedua-dua pasukan berkenaan walaupun sudah bermati-matian beraksi bersama kelab terbabit.

Manaf yang kini menetap di Teluk Panglima Garang, Selangor berkata, dia sebelum ini tidak mahu bersuara dengan masalah terbabit, namun melihat situasi berkenaan sudah berlanjutan lebih setahun sekali gus mendorongnya untuk mendedahkan perkara itu kepada umum.

"Saya antara yang tidak menerima gaji ketika bermain di Marcerra Kuantan FA dan situasi terbabit berulang ketika bermain dengan Batu Dua FC apabila lebih enam bulan tidak menerima bayaran.

MANAF puas hasil jualan durian sangat menggalakkan.

"Situasi berkenaan cukup mengajar saya untuk lebih berhati-hati dan ketika ini saya menyara keluarga dengan menjual durian saja. Walaupun sudah mengadu masalah terbabit kepada pihak berkaitan termasuklah berjumpa dengan pengurusan kelab itu sebelum ini namun setakat ini tiada jalan penyelesaian," katanya, di sini.

Dia yang pernah menyarung jersi skuad Terengganu berkata, tiada apa yang perlu dimalukan demi mencari sesuap nasi buat keluarganya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Satu masa dulu dia pemain bola sepak terkenal, namun sekarang semuanya hanya tinggal kenangan dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan.

"Tiada apa yang perlu dimalukan, saya juga manusia biasa yang perlu menyara isteri dan anak untuk hidup. Kebetulan musim durian, saya mengambil peluang dengan menjual raja buah ini dan Alhamdulillah sambutan diterima sangat menggalakkan," katanya.

Selain itu, katanya, dia kini mahu menumpukan sepenuhnya fokus untuk mengambil lesen jurulatih dan mahu terbabit dalam bidang kejurulatihan selepas ini.

"Kelab terakhir saya beraksi untuk Liga M3 iaitu Harini FC namun hanya sempat bermain dua perlawanan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dikuat kuasakan," katanya.Disiarkan pada: Julai 16, 2021 @ 8:45pm.1

___________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/731435/manaf-kini-tauke-durian

Rindu keluarga cabaran PJ City

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



Darren Lok masih mengalami kecederaan dan terpaksa disisihkan untuk aksi Liga Super akan datang.

Kuala Lumpur: Lebih sebulan terpaksa 'meninggalkan' isteri dan anak selain sudah lama tidak menjenguk ibu serta ayah di kampung menjadi antara cabaran yang dihadapi barisan pemain PJ City berikutan terpaksa berkorban menjalani latihan secara gelembung sukan demi mengekang penularan Covid-19.

Walaupun perkara dilihat agak remeh namun sebenarnya situasi itu menjejaskan moral dan semangat pemain dalam persiapan menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia hujung bulan ini.

Pengurus pasukan PJ City K Rajendran berkata, situasi berkenaan sememangnya melanda kem PJ City FC namun barisan pemain masih lagi kental dan cekal menjalani latihan seperti biasa.

Beliau berkata, ketika ini semua pemain termasuk pegawai pasukan tidak dibenarkan keluar daripada hotel atau berjumpa dengan individu lain bagi mengekang penularan pandemik.

"Antara perkara yang sering diperkatakan oleh pemain adalah mereka rindu kepada keluarga terutama isteri dan anak kerana perlu menjalani latihan secara gelembung sukan sejak sebulan lalu.

"Mereka cukup profesional kerana tetap menjalani latihan seperti biasa tanpa sebarang masalah cuma perkara terbabit dibangkitkan ketika ini.

"Setakat ini, tiada pemain yang melanggar arahan terbabit dan mereka hanya duduk di hotel dan ke padang latihan saja sebagai persiapan menjelang perlawanan Liga Malaysia," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Rajen turut mengesahkan penyerang pasukan Darren Lok masih lagi tidak dapat beraksi apabila tirai Liga Super kembali bersambung.

"Darren masih lagi dalam tempoh rawatan dan hanya menjalani latihan ringan sekali gus terlepas beberapa perlawanan Liga Super nanti.

"Situasi berkenaan tidak memberi tekanan atau masalah kepada kami kerana ada beberapa pemain lain seperti Mahali Jasuli dan R Kogileswaran yang dilihat boleh menggantikan tempat Darren," katanya.

Disiarkan pada: Julai 16, 2021 @ 3:07pm.1

________________________________________

Ronaldo pemain paling tua menang Kasut Emas

Agensi



RONALDO pintas rekod Platini.

London: Cristiano Ronaldo mencipta satu lagi rekod baharu apabila muncul pemain paling tua memenangi Kasut Emas Kejohanan Eropah.

Bintang Portugal berusia 36 tahun itu menjaringkan lima gol untuk mengatasi Patrik Schick, Harry Kane dan deretan pemain lain sebelum dipilih pemenang.

Pemain Republic Czech Schick, 25, turut meledak lima gol termasuk jaringan terbaik ketika menentang Scotland tetapi Ronaldo mempunyai kelebihan bantuan gol seperti yang tercatat dalam peraturan sejak 2008.

Pada usia 36 tahun, Ronaldo tujuh tahun lebih tua daripada pemenang sebelum ini milik Michel Platini yang berusia 29 tahun pada 1984 dan rekod itu akhirnya lebur 37 tahun kemudian.

Platini meledak sembilan gol ketika itu bagi membantu Perancis menjuarai Kejohanan Eropah.

Dua pemain Sepanyol, Fernando Torres dan David Villa berada pada tangga seterusnya pada usia 28 dan 27 tahun.

Antoine Griezmann dan Alan Shearer di belakang mereka dengan pemain England itu muncul penjaring terbanyak di Euro 96 pada usia 25 tahun.

Dua legenda Belanda, Patrick Kluivert dan Marco van Basten menyusul selepas itu dengan Kluivert pemenang anugerah di Euro 2000 pada usia 24 tahun manakala Van Basten berusia 23 tahun di Euro 88.

Berdasarkan jurang umur antara Ronaldo dan Platini, tempoh masa sangat lama mungkin diperlukan sebelum pemain lain boleh mengetuai senarai itu.

Disiarkan pada: Julai 15, 2021 @ 1:32pm.1

__________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/730847/ronaldo-pemain-paling-tua-menang-kasut-emas

Southgate seorang pengurus hebat, khazanah negara -- Neville

Ammar Hakim

Julai 16, 2021 11:20 MYT



Southgate seorang pengurus hebat, khazanah negara -- Neville

Phil Neville melabel Gareth Southgate sebagai 'pemimpin hebat' dan 'khazanah negara' berikutan membawa England ke final Euro 2020.

Southgate memimpin Three Lions ke final kejohanan utama buat pertama kali dalam 55 tahun, di mana mereka mengalami kekecewaan penentuan penalti ke atas Itali di Wembley.

Ia juga menyaksikan persembahan terbaik England dalam pertandingan tersebut ketika menjuarai Kumpulan D sebelum mengatasi Jerman 2-0 dalam pusingan 16.

Mereka kemudian mengatasi Ukraine dalam suku akhir, sebelum jaringan Harry Kane dalam masa tambahan membantu mereka menang 2-1 ke atas Denmark dalam separuh akhir.

Bekas pertahanan England, Neville, yang memimpin skuad wanita England ke separuh akhir Piala Dunia 2019, bermain bersama-sama Southgate dalam Euro 96 ketika skuad kendalian Terry Venables mara ke separuh akhir.

Mereka juga sebahagian daripada skuad Kevin Keegan yang tersingkir dalam peringkat kumpulan Euro 2000.

Dan ketua jurulatih Inter Miami itu memuji pencapaian bekas rakan sepasukannya itu, yang memiliki kontrak sehingga tamat Piala Dunia Qatar 2022.

"Gareth Southgate seorang pemimpin yang hebat," katanya. "Mengapa? Kerana dia berjaya menghubungkan setiap orang di England.

"Dia menghubungi sebilangan besar penyokong bola sepak dan pasukan yang tidak menyukai antara satu sama laim dan saya mengalaminya sebagai pemain.

"Saya bermain di pasukan England di mana kami tidak mempunyai perpaduan, semangat berpasukan, kebersamaan, dan itulah sebabnya kami selalu gagal.

"Sekarang, semua orang mahu bermain untuk England, semua orang mahu menyokong England. Kegembiraan yang anda lihat di stadium itu tidak pernah ada dalam karier saya.

"Saya fikir Gareth adalah harta negara dan Gareth harus menjadi orang yang FA perlu terus melepasi tempohnya sebagai pengurus.

"Dia seseorang yang benar-benar dapat membantu membentuk bola sepak Inggeris."1

_______________________________________________

1https://www.stadiumastro.com/bola-sepak/southgate-seorang-pengurus-hebat-khazanah-negara-neville-198073

Thursday, 15 July 2021

Rashford hanya mampu mohon maaf

SUKAN



RASHFORD (kanan) mengakui musim yang sukar dihadapinya sebelum ini mungkin menyebabkan dia kurang keyakinan ketika aksi final lalu. – AFP

Rashford hanya mampu mohon maaf

Oleh KOSMO!

14 Julai 2021, 2:00 pm

LONDON – Bintang Manchester United, Marcus Rashford tampil memohon maaf atas kegagalannya sewaktu penentuan sepakan penalti yang dilihat sebagai punca utama England gagal menjulang kejuaraan Euro 2020.

Rashford, 23, adalah antara tiga pemain England yang gagal menyempurnakan sepakan penalti selain Jadon Sancho dan Bukayo Saka ketika tewas 2-3 kepada Itali selepas seri 1-1 pada aksi final di Stadium Wembley kelmarin.

Saya tidak tahu untuk menggambarkan perasaan sekarang. Saya telah mengharungi musim yang cukup sukar dan mungkin bermain aksi final itu dalam keadaan kurang keyakinan.

Saya sentiasa yakin ketika mengambil sepakan penalti walaupun dalam keadaan tidur. Saya mahu beri sumbangan kepada pasukan dengan menyempurnakan sepakan penalti.

Final. 55 tahun. Satu penalti. Sejarah. Apa yang saya dapat katakan cumalah meminta maaf dan mengharapkan ia berlaku sebaliknya tetapi ia sudahpun terjadi,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Aston Villa, Jack Grealish membidas segala kritikan dilemparkan terhadapnya yang mendakwa dia seorang pengecut kerana tidak berani mengambil sepakan pe­nalti kelima England.

Grealish, 25, menegaskan, ia bukan seperti didakwa legenda The Red Devils, Roy Keane yang menganggap pemain senior England pengecut.

Saya mahu mengambilnya tetapi keputusan adalah dibuat jurulatih (Gareth Southgate). Sepanjang kejohanan beliau telah membuah keputusan yang tepat dan begitu juga yang dilakukan kelmarin.

Saya tidak mahu orang anggap saya enggan melakukannya sedangkan saya sebenarnya bersedia,” jelasnya. – AGENSI.1

_______________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/07/14/rashford-hanya-mampu-mohon-maaf/

Backhand smash senjata rahsia Zii Jia

 ZII JIA sedia memberikan aksi terbaik dalam penampilan pertamanya pada Sukan Olimpik 2020 sekali gus memburu pingat emas sulung Olimpik buat negara.



Backhand smash senjata rahsia Zii Jia

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI

15 Julai 2021, 10:10 am

PERSEORANGAN lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia sedia untuk terus menjadikan teknik backhand smash (pukulan kilas tajam) sebagai senjata pemusnah pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo dalam usahanya memburu pingat emas sulung Olimpik buat negara.

Pukulan kilas tajam yang dilakukan pemain berusia 23 tahun itu nyata menjadi igauan ngeri kepada pemain-pemain lain memandangkan serangan tersebut sangat sukar untuk dipatahkan.

Bagaimanapun, Zii Jia mene­gaskan, dia tidak boleh terlalu bergantung pada teknik tersebut semata-mata kerana kebanyakan pemain sudah tahu mengenainya selain perlu melihat situasi perlawanan.

Saya rasa ramai sudah tahu mengenai teknik backhand smash yang saya lakukan sebelum ini, jadi saya tidak tahu sama ada ia akan menjadi atau tidak dalam setiap perlawanan. Ia bergantung pada situasi.

Selain itu, saya juga perlu mencongak strategi terbaik apabila turun ke gelanggang. Sekiranya ada peluang, sudah tentu saya akan keluarkan teknik itu (backhand smash),” katanya menerusi sidang akhbar secara dalam talian semalam.

Sebagai rekod, juara kejohanan badminton Seluruh England (All England) itu pernah mengejutkan beberapa jaguh ternama seperti pemain No. 1 dunia, Kento Momota serta pemain China, Shi Yuqi menerusi pukulan kilas tersebut.

Sementara itu, Zii Jia yang juga pemain No. 8 dunia menjelaskan, kekalahan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada ikon badminton China, Lin Dan masih terbayang-bayang sehingga ke hari ini.

Justeru, dia sedia memberikan aksi terbaik dalam penampilan pertamanya pada Olimpik, lebih-lebih lagi apabila dia turut diletakkan sebagai antara prospek untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.“Saya masih ingat Datuk (Chong Wei) tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir Sukan Olimpik 2012. Memang saya tidak sangka beliau akan tewas kerana memiliki peluang untuk menang ketika itu,” katanya.1

_____________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/07/15/backhand-smash-senjata-rahsia-zii-jia/

Wednesday, 14 July 2021

Harimau Malaya perlu 'gear lima'

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



CHENG Hoe mahu Harimau Malaya terbabit dengan beberapa aksi persahabatan selepas ini.

Kuala Lumpur: Enjin skuad Harimau Malaya sudah berada pada gear empat dan kini ia perlu ditingkatkan kepada gear lima dengan beberapa aksi persahabatan pada jendela perlawanan antarabangsa pada September, Oktober dan November ini.

Menurut pengendali negara, Tan Cheng Hoe, selepas kembali mengadakan latihan dan mengharungi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan lalu, momentum itu perlu diteruskan bagi memastikan tahap keserasian pemain tidak terganggu.

Katanya, keputusan yang diraih skuad negara di UAE dengan menamatkan saingan Kumpulan G di tangga ketiga harus dilihat dari pelbagai sudut termasuk ketiadaan latihan pusat selama hampir dua tahun berikutan pandemik Covid-19.

Untuk rekod, skuad negara tidak berlatih bersama sejak November 2019 sebelum kembali dikumpulkan pada awal tahun ini bagi mengharungi kelayakan yang berlangsung bulan lalu. "Saya bukan nak bagi alasan tetapi kita boleh lihat perbezaan kita masa 2019 dan selepas dua tahun tidak berlatih dan kembali bermain di kelayakan.

"Secara keseluruhan kita baik (di UAE) tapi selepas lama tak beraksi di peringkat antarabangsa mungkin beberapa keserasian itu sedikit hilang. Sebab itu, kita perlu teruskan latihan dan perlawanan (aksi persahabatan) untuk memastikan momentum pasukan.

"Saya harap kita boleh buat perlawanan tapi kalau tak ada kita akan buat kem latihan saja memandangkan kita masih lagi dalam situasi Covid-19," katanya kepada Arena Metro.

Menurutnya, pihaknya bersama sekretariat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang berusaha memikirkan jalan terbaik bagi mempersiapkan pasukan menjelang saingan Piala AFF hujung tahun ini dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 Februari tahun depan.

"Kita sentiasa mengikuti saranan dari pihak kerajaan dan bukan mudah untuk kita pergi ke luar negara untuk mengadakan perlawanan. Kalau nak adakan dalam negara pun susah sebab pintu sempadan kita tak dibuka untuk orang luar masuk.

"Apapun kita kena fokus dan perlu buat latihan pada jendela Fifa untuk pastikan pemain bersedia apabila bertanding nanti," katanya.

Berdasarkan kalendar Fifa untuk aksi antarabangsa, terdapat tiga jendela iaitu dari 30 Ogos hingga 7 September, 4-12 Oktober dan yang terakhir untuk tahun ini pada 8-16 November depan.Disiarkan pada: Julai 14, 2021 @ 9:52pm.1

____________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/730673/harimau-malaya-perlu-gear-lima