PROF. MADYA
DR. MOHD. HASNI JAAFAR | 28
Disember 2015 6:20 PM
NASI lemak
yang dibungkus dengan surat khabar boleh menjejaskan kesihatan. GAMBAR HIASAN
SABAN hari
menjadi rutin masyarakat kita membaca untuk mendapatkan pengetahuan atau
maklumat terkini. Bahan bercetak seperti surat khabar, majalah, brosur,
mahupun poster promosi dihasilkan dalam kuantiti yang amat banyak pada setiap
masa. Maka berlakulah lambakan bahan cetakan ini sebagai salah satu sisa
pepejal.
Sejajar
dengan langkah kitar semula dalam pengurusan sisa pepejal di negara ini,
terdapat segelintir pengusaha makanan menggunakan bahan-bahan bercetak tersebut
terutamanya surat khabar sebagai pembungkus makanan. Paling kerap digunakan
adalah sebagai pembungkus nasi lemak.
Adakah
pembungkusan makanan ini adalah langkah kitar semula yang selamat? Adakah kita
cukup yakin yang bahan karbon hitam, apatah lagi bagi cetakan berwarna yang
mengandungi pelbagai bahan berbahaya seperti logam berat dan pelarut tidak
terdedah pada kita? Bagaimana dengan agen penyakit yang rentan keadaan kering
seperti penyakit tuberkulosis atau batuk kering yang menghasilkan spora tidak
melekat pada kepingan surat khabar itu?
Bagi memberi
gambaran yang lebih jelas, kita lihat proses pindah tangan surat khabar dari
pengedar hingga ke pembeli makanan dalam menjelaskan permasalahan ini.
Risiko di
pusat pengedar
Setiap awal
pagi, pusat-pusat pengedar akan menerima sejumlah ribuan naskhah surat khabar
bagi edaran hari itu. Apabila lori-lori yang membawa surat khabar ini tiba,
ribuan naskhah surat khabar akan diturunkan di tepi jalan tanpa mengira
kebersihan permukaan tersebut.
Berapa ramai
pengedar yang mengambil berat akan kebersihan naskhah surat khabar ini? Berapa
ramai yang menyediakan lapik bagi menggelakkan kekotoran pada naskhah surat
khabar yang paling bawah? Adakah kita pasti tiada haiwan pembawa penyakit
berkeliaran di kaki lima tersebut?
Bolehkah
kita bezakan antara naskhah yang bersih dengan tercemar dengan air kencing
tikus yang hampir sama baunya dengan pelarut yang digunakan dalam pencetakan
naskhah itu? Belum ada satu kajian pun yang pernah dijalankan untuk menilai
risiko tersebut di dalam mahupun di luar negara.
Memang tiada
kes leptospirosis (demam kencing tikus) dikesan dari pembungkus nasi lemak.
Tetapi itu semua hanyalah anggapan sahaja kerana tiada kajian khusus dilakukan.
Leptospirosis kini menjadi penyakit berjangkit kedua utama selepas demam denggi
di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Risiko
pembaca
Menjadi
lumrah surat khabar itu dibaca semasa sedang berehat sambil menikmati sarapan
mahupun makanan tengah hari. Ada juga yang suka membaca di dalam tandas. Berapa
ramai mereka ini, kita tidak pasti. Tapi kita semua tahu mereka itu wujud, dan
mungkin kita juga adalah sebahagian dari mereka.
Bersih mana
pun tandas seperti di Jepun, tidak terkecuali dari pelbagai kuman. Baik di
rumah atau di hospital, juga tidak terkecuali. Kajian tempatan juga menunjukkan
kuman boleh tersebar ke udara semasa kita mengepam tandas tersebut sebagai
titis-titis air yang halus. Dan adalah tidak mustahil, segala jenis kuman turut
melekat pada surat khabar yang dibawa masuk ke dalam tandas tadi. Ia tercemar
sama ada melalui titis air halus, mahupun melalui sentuhan tangan pembaca.
Dan berapa
ramai dari pembaca surat khabar juga terdiri dari mereka yang tidak sihat dan
diketahui boleh menjangkiti orang lain melalui udara pernafasan, percikan darah
mahupun najis mereka. Memang kedengaran seperti tidak mungkin berlaku, tetapi
seyakin mana kita yang kuman-kuman seperti tuberkulosis, kuman penyakit tangan
kaki dan mulut, virus hepatitis, kepialu, taun dan sebagainya tidak ada pada
surat khabar tersebut.
Risiko
pembuat makanan
Di negara
ini, nasi lemak dan roti canai diiktiraf sebagai makanan kegemaran. Namun
begitu, terdapat risiko tersembunyi yang harus diketahui oleh setiap pengusaha
makanan. Risiko dedahan bahan cemar berlaku terutamanya ketika proses
pembungkusan makanan tersebut. Keadaan berminyak kedua-dua makanan, nasi lemak
dan roti canai, menyebabkan tangan pengendali tersebut berminyak.
Apabila
mereka menyentuh kepingan surat khabar tersebut, lapisan minyak pada tangan
akan melarutkan dakwat kepada cecair minyak. Ini akan memindahkan butiran
karbon, logam berat dan pelarut ke telapak tangan pengendali tersebut. Dan
secara tidak langsung, segala perkakasan dan makanan yang dikendalikan akan
dicemari.
Dari segi
toksikologi, kebanyakan bahan larut resap lemak adalah berbahaya. Sebagai
seorang pegawai perubatan, saya masih ingat ketika memberikan kursus pengendali
makanan di selatan tanah air 15 tahun lalu. Guna pembungkus makanan yang
bersih, jangan guna surat khabar atau majalah untuk mengelakkan pencemaran
makanan dengan bahan kimia.
Tambahan
juga pada peringkat ini, pengendali makanan sendiri sebenarnya mendedahkan diri
kepada risiko kesihatan yang agak serius. Bahan tersebut boleh melintasi
lapisan membran otak dan mampu menyebabkan masalah saraf sekiranya pendedahan
terus berlaku untuk suatu jangka masa yang berbeza mengikut ketahanan imun
badan seseorang.
Risiko
pembeli makanan
Bagi peminat
nasi lemak, mereka boleh dianggap mengalami dua kali tahap risiko kesihatan.
Pertamanya, dari sikap yang suka membelek surat khabar ketika makan di
gerai-gerai. Minyak sambal atau kuah di hujung jari, boleh melarutkan bahan
kimia dakwat cetakan dan akan melekat pada tangan. Ia akan masuk ke dalam
sistem penghadaman bersama nasi lemak tersebut. Keduanya, menjadi kebiasaan
kita, kalau nasi lemak itu murah, RM1, mahu dua atau tiga bungkus diambil. Cuba
lihat tangan kita lepas habis satu bungkus, ada atau tidak kesan-kesan hitam
karbon pada jari kita? Lagi berminyak nasi lemak itu, lagi hitam jari kita.
Apatah lagi melalui bungkusan seterusnya.
Rumusan
Pihak
berwajib seharusnya mengeluarkan arahan yang tidak bercanggah dengan kursus
pengendalian makanan sedia ada. Ini adalah agar pengendalian dan pengguna tidak
keliru dalam aspek keselamatan makanan. Banyak pilihan boleh digunapakai dalam
pembungkusan makanan. Di Yemen, mereka menggunakan kertas putih tebal untuk
membungkus roti. Di Jepun, mereka menggunakan bekas polisterin berlapik plastik
mudah hancur yang boleh diguna semula. Di Amerika dan Kanada, pengendali
makanan menggunakan kertas berwarna perang kitar semula.
Di Malaysia,
sudah ada pilihan yang lebih murah dan sesuai dengan keadaan tinggi minyak
dalam makanan kita. Sebenarnya ia telah digunakan oleh ramai pengendali makanan
dan di sebahagian negeri. Kertas perang berlapik adalah pilihan yang agak
praktikal, 100 keping hanya berharga RM3 hingga RM4, sekeping hanya tiga atau
empat sen. Jelas ini tidak membebankan dan tidak menjejaskan pendapatan
penjual. Mungkin ketiadaan bekalan menjadi punca sebahagian pengusaha makanan
kecil-kecilan menggunakan kertas surat khabar.
Letakkan
tahap kawalan kesihatan kita di hadapan. Penggunaan jenis pembungkus yang betul
akan mengurangkan beban penyakit terutamanya penyakit tidak berjangkit dan
kanser, di samping mengurangkan kos rawatan dan pengesanan.
Semoga penyakit
kronik berkait dengan dedahan bahan toksik seperti yang terdapat dalam bahan
bercetak atau medium persekitaran lain dapat dikurangkan dan dicegah di negara
ini. Apakah kaedah kitar semula sesuai untuk surat khabar atau bahan bercetak
lain? Ia seharusnya hanya dikitar semula untuk membuat kertas sahaja.
PENULIS
ialah Pakar Perunding Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi Pusat Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/bahaya-guna-surat-khabar-1.173538#sthash.YlN9wCQr.dpuf